MONTPELIER: Bilangan kedai dan dispensari menjual ganja bagi kegunaan rekreasi di Vermont meningkat dengan ketara dalam hanya tempoh tiga bulan pertama negeri itu membenarkan penjualan runcit bahan berkenaan.
Daripada hanya tiga premis dispensari ganja di Vermont sebelum ini, kini ia meningkat kepada 25 dalam tempoh berkenaan dengan beberapa buah lagi dijangka dibuka tidak lama lagi.
Menurut wakil dari Lembaga Kawalan Ganja Vermont, Nellie Marvel, sehingga minggu lalu, sebanyak 25 dispensari sama sudah dibuka di seluruh negeri manakala empat lagi bakal dibuka dalam masa sebulan lagi.
Tambah beliau, tujuh lagi dispensari sudah menerima lesen bagi operasi penjualan ganja rekreasi.
Vermont adalah antara puluhan negeri yang membenarkan ganja rekreasi, termasuk New York, di mana dispensari sah pertama untuk penjualan bahan itu dibuka pada Khamis lalu di Manhattan.
Lapor Daily Mail, Housing Works Cannabis Co di hilir Manhattan menjual pesanan pertama ganja secara sah di negeri itu sejak dadah rekreasi dibenarkan dijual kepada penduduk berumur 21 tahun ke atas dua tahun lalu.
Penjualan ganja yang sah di seluruh negeri dianggarkan mampu meraih sekitar AS$1.3 bilion (RM5.7 bilion), dan negeri itu menawarkan 150 lesen pertama untuk penjualan sah kepada individu dan keluarga mereka yang sebelum ini disabitkan bersalah mengedar atau menjual dadah.
"Hari ini menandakan peristiwa penting dalam usaha kami mewujudkan industri ganja yang paling saksama di negara ini," kata Datuk Bandar New York City, Eric Adams.
Dispensari baharu itu dikendalikan oleh badan bukan berasaskan keuntungan, Housing Works, yang juga sebuah agensi perkhidmatan sosial minoriti bagi membantu pesakit AIDS dan HIV termasuk mereka yang pernah dipenjarakan atau kehilangan tempat tinggal.
Badan itu menerima kira-kira 2,000 tempahan untuk membuat pembelian dengan barisan panjang di luar premis.
Ketua Pegawai Eksekutif Housing Works, Charles King, berkata pertubuhan itu mengupah pekerja dalam kalangan mereka yang pernah ditahan kerana pengambilan ganja.
"Kami berusaha mendapatkan lesen kerana mahu mendapatkan peluang memperbaiki beberapa kemudaratan akibat jenayah ganja serta dadah lain," katanya.
Vermont pula membenarkan penjualan runcit ganja bagi tujuan rekreasi dalam kalangan dewasa awal Oktober lalu dan ketika itu, hanya empat premis dilesenkan dengan tiga dibuka untuk perniagaan pada minggu pertama.
Selain Burlington, Rutland dan Middlebury, kedai runcit ganja turut dibuka di Brattleboro, Derby dan Montpelier serta di beberapa bandar kecil Cambridge dan Barton.
Sementara itu, pemilik Capital Cannabis Co, Lauren Andrews, berkata sambutan pelanggan di dispensarinya yang terletak di ibu kota Vermont di Montpelier, sangat menggalakkan.
Andrews berkata, beliau membuka premisnya sejak November lalu dan turut menawarkan jualan murah selama dua hari minggu lalu.
"Ada pelanggan yang beli bagi simpanan bekalan dan sebagai hadiah, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jualan.
"Kami sudah mempunyai sejumlah pelanggan setia," katanya.
Di Derby, pemilik bersama The High Country, Brian Fisher turut mengakui jualan ganja meningkat tiga kali ganda menjelang musim cuti selepas mereka dapat menambah bekalan.
Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Kawalan Ganja Negeri, James Pepper, berkata 1 Oktober lalu menjadi tarikh pembukaan awal penjualan ganja rekreasi di negeri lain dan Kanada.
Promosi itu turut menyaksikan lebih banyak pengeluar produk dan kemudahan ujian muncul secara dalam talian berikutan lebih ramai penanam ganja menuai hasil tanaman mereka.
Beliau berkata, pihak lembaga bertindak melesenkan lebih banyak penanam ganja serta peruncit sebelum ia boleh dimiliki di dispensari.
"Kami melihat kemasukan produk baharu yang sangat baik di pasaran setiap hari," katanya. - AGENSI