Rabu, 23 November 2022 | 11:23am
Pengarah Institut Kebangsaan Alahan dan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat (AS) merangkap Ketua Penasihat Perubatan Presiden AS, Dr Antony Fauci (tengah) pada taklimat terakhir di Rumah Putih sambil disaksikan Penyelaras tindak balas COVID-19 Rumah Putih, Dr Ashish Jha (kanan) dan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre (kiri). - Foto AP
Pengarah Institut Kebangsaan Alahan dan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat (AS) merangkap Ketua Penasihat Perubatan Presiden AS, Dr Antony Fauci (tengah) pada taklimat terakhir di Rumah Putih sambil disaksikan Penyelaras tindak balas COVID-19 Rumah Putih, Dr Ashish Jha (kanan) dan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre (kiri). - Foto AP

Rayuan terakhir Fauci gesa rakyat AS dapatkan suntikan COVID-19

WASHINGTON: Pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS) yang dilihat sebagai 'wajah' tindak balas wabak COVID-19, Dr Anthony Fauci, memanfaatkan taklimat terakhir di Rumah Putih semalam untuk menggalakkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin.

Pada masa sama, beliau mengecam perpecahan dalam kalangan umum dan tindakan segelintir kumpulan anti vaksin yang menjejaskan kadar pengambilan vaksin dengan menghasut orang ramai.

Fauci, yang merancang untuk bersara sedikit masa lagi sebagai penasihat perubatan tertinggi Presiden AS, Joe Biden, menjawab pelbagai persoalan kontroversi mengenai krisis kesihatan daripada HIV dan AIDS, selesema burung dan Ebola.

Beliau berterus terang bahawa rakyat AS perlu mengubah tingkah laku mereka bagi mendepani wabak itu dengan lebih mempercayai doktor serta saintis.

Beliau pernah dianggap wira kepada penyokong kesihatan awam ketika berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Presiden AS, Donald Trump.

Beliau pada masa sama dilihat sebagai 'penyangak' bagi segelintir masyarakat dan ada juga yang menganggapnya selebriti luar biasa dalam kalangan pegawai birokrasi.

Fauci juga kerap menerima ancaman bunuh atas usahanya itu.

Fauci menggunakan taklimat terakhirnya untuk menggalakkan rakyat AS mendapatkan vaksin COVID-19 dan suntikan penggalak, selain menggembar-gemburkan keberkesanan pelitup muka, suatu isu yang penduduk AS berpecah.

AS merekodkan kematian akibat COVID-19 yang tertinggi di dunia iaitu lebih daripada satu juta mangsa.

Selepas 13 bilion dos vaksin COVID-19 diberikan di seluruh dunia, Fauci berkata, terdapat 'maklumat yang jelas', menunjukkan bahawa ia selamat.

"Apabila saya melihat penduduk di sini berpecah belah... mereka tidak mendapatkan suntikan vaksin atas sebab yang tidak ada kaitan dengan kesihatan awam.

"Namun, disebabkan perpecahan dan perbezaan ideologi ini memudaratkan kesihatan mereka, sebagai seorang doktor, ia amat menyakitkan.

"Saya tidak mahu melihat sesiapa dimasukkan ke hospital, dan enggan melihat sesiapa mati akibat COVID-19. Sama ada anda seorang Republikan atau Demokrat, tidak ada bezanya," katanya.

Penyelaras tindak balas COVID-19 Rumah Putih, Dr Ashish Jha, yang bersama Fauci di podium, berkata kerajaan cuba mempromosikan pakar perubatan sebagai sumber maklumat mengenai wabak itu dan bukannya mereka yang tidak memiliki pengetahuan berkaitan perkara itu.

"Anda boleh membuat keputusan untuk mempercayai pakar perubatan AS atau anda boleh mempercayai beberapa orang secara rawak di Twitter.

"Bagi wartawan dan mereka yang mempunyai pentas sendiri, apa yang saya ingin katakan adalah, anda harus memikirkan mengenai tanggungjawab peribadi.

"Adakah anda mahu menjadi sumber maklumat yang tidak tepat dan salah? Itu terpulang kepada individu," katanya.

Fauci bakal berundur Disember ini selepas kerjaya 54 tahun dalam perkhidmatan awam di AS.

Lelaki berusia 81 tahun itu mengetuai Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan AS, yang juga sebahagian daripada Institut Kesihatan Kebangsaan, sejak 1984. - REUTERS

Berita Harian X