NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan jumlah penduduk global akan mencecah lapan bilion menjelang pertengahan November ini.
Penduduk dunia dijangka terus berkembang walaupun pada kadar lebih perlahan dan dengan jurang antara negara serantau, dalam dekad akan datang.
Bahagian Penduduk dan Pembangunan Tabung PBB untuk Aktiviti Kependudukan (UNFPA) menganggarkan bilangan penduduk bumi mencecah lapan bilion pada 15 November, iaitu peningkatan lebih tiga kali ganda berbanding 2.5 bilion manusia pada 1950.
Bagaimanapun, selepas kemuncaknya pada awal 1960-an, kadar pertumbuhan penduduk dunia menurun secara mendadak, kata Ketua Bahagian UNFPA, Rachel Snow kepada AFP.
Pertumbuhan tahunan merosot daripada paras tertinggi 2.1 peratus antara 1962 dan 1965 kepada di bawah satu peratus pada 2020.
Jumlah itu berpotensi merudum sekitar 0.5 peratus menjelang 2050 disebabkan penurunan berterusan dalam kadar kesuburan, demikian unjuran PBB.
Berikutan peningkatan dalam jangka hayat serta bilangan individu yang masih boleh hamil, PBB mengunjurkan penduduk akan terus meningkat kepada kira-kira 8.5 bilion pada 2030, seterusnya 9.7 bilion (2050) dan kemuncak kira-kira 10.4 bilion pada 2080-an.
Bagaimanapun, Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mengunjurkan jumlah berbeza, iaitu menerusi kajian 2020 penduduk global akan mencecah maksimum menjelang 2064 dan dengan itu tidak akan mencapai 10 bilion, dan menurun kepada 8.8 bilion menjelang 2100.
"Unjuran kami lebih rendah (daripada PBB) dan saya mempunyai sebab tersendiri," kata Pengarang Utama Kajian IHME, Stein Emil Vollset.
Sementara itu, profesor dari Universiti Washington mengatakan, di bawah 'model kesuburan yang agak berbeza' bilangan manusia hanya akan mencapai antara sembilan dan 10 bilion.
Menurut PBB, pada 2021, kadar kesuburan purata ialah 2.3 kanak-kanak bagi setiap wanita sepanjang hayatnya berbanding kira-kira lima pada 1950, dan mengunjurkan jumlah itu akan turun kepada 2.1 menjelang 2050.
"Kita sudah mencapai tahap di mana majoriti negara dan majoriti penduduk tinggal di negara yang berada di bawah nisbah kesuburan atau kira-kira 2.1 kanak-kanak bagi setiap wanita," kata Snow.
Faktor utama yang mendorong pertumbuhan penduduk global ialah purata jangka hayat terus meningkat, iaitu 72.8 tahun pada 2019, menyaksikan pertambahan usia sembilan tahun jika dibandingkan dengan 1990, sementara PBB meramalkan purata jangka hayat 77.2 tahun menjelang 2050.
Ditambah dengan penurunan kadar kesuburan, bilangan individu berusia lebih 65 tahun dijangka meningkat daripada 10 peratus pada 2022 kepada 16 peratus pada 2050.
Peningkatan kadar penuaan global ini akan memberi kesan kepada pasaran buruh dan sistem pencen negara, selain sesebuah negara memerlukan lebih banyak pusat penjagaan warga emas.
Snow menjelaskan, semakin banyak negara menghubungi pertubuhannya menanyakan bagaimana UNFPA boleh membantu mereka lebih memahami perkara yang mungkin boleh dilakukan untuk meningkatkan penduduk.
Sebagai contoh, PBB mengunjurkan, lebih separuh daripada pertumbuhan penduduk menjelang 2050 akan datang dari hanya lapan negara iaitu Republik Demokratik Congo, Mesir, Ethiopia, India, Nigeria, Pakistan, Filipina dan Tanzania.
Purata perbezaan umur di wilayah yang berbeza juga perlu diambil kira, di mana pada masa ini ialah 41.7 tahun di Eropah berbanding 17.6 tahun di Sub-Sahara Afrika, yang pada pandangan Snow, suatu jurang besar yang tidak pernah wujud seperti mana berlaku sekarang.
"Angka terbabit boleh menjadi setara, tetapi tidak seperti pada masa lalu apabila purata umur negara kebanyakannya adalah agak muda, dan pada masa hadapan, kebanyakan purata umur ini lebih hampir kepada usia tua," katanya.
Dalam pada itu, sesetengah pakar percaya perbezaan demografi serantau ini mungkin memainkan peranan penting dalam geopolitik pada masa hadapan.
Dalam ilustrasi lain mengenai perubahan trend, dua negara paling ramai penduduk, China dan India, akan mengatasi antara satu sama lain di seawal 2023, lapor PBB.
Ini kerana jumlah 1.4 bilion penduduk China akan mula merosot, jatuh kepada 1.3 bilion menjelang 2050 menurut unjuran PBB dan menjelang akhir abad ini, penduduk China mungkin hanya tinggal 800 juta orang.
Sementara itu, penduduk India yang ketika ini di tempat kedua selepas China, dijangka melepasi negara itu di utara pada 2023, dan meningkat kepada 1.7 bilion menjelang 2050, walaupun kadar kesuburannya dijangka merosot.
Amerika Syarikat (AS) akan kekal sebagai negara ketiga paling ramai penduduk pada tahun 2050, unjur PBB, tetapi ia akan terikat dengan Nigeria pada 375 juta. - AFP