Jumaat, 23 September 2022 | 10:24am
Presiden Iran, Ebrahim Raisi, pada sidang akhbar ketika menghadiri UNGA di New York, semalam. - FOTO AP
Presiden Iran, Ebrahim Raisi, pada sidang akhbar ketika menghadiri UNGA di New York, semalam. - FOTO AP

Kes kematian Amini akan disiasat secara teliti - Presiden Iran

NEW YORK: Presiden Iran, Ebrahim Raisi, menegaskan kes kematian Mahsa Amini ketika wanita itu berada dalam tahanan polis moral sehingga mencetuskan rusuhan di negara itu, mesti disiasat secara teliti.

Namun pada masa sama, beliau yang menekankan perkara itu pada sidang media ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, semalam, turut menempelak dengan soalan: 'Bagaimana pula dengan semua orang yang telah dibunuh oleh polis Amerika Syarikat (AS)? Adakah kesemua kematian ini disiasat?'

Raisi sekali gus menzahirkan perasaan kesal terhadap sikap pihak Barat yang didakwanya sebagai 'double standard' atau berat sebelah berhubung hak asasi manusia.

Beliau menjelaskan, pihak berkuasa Iran sedang mengambil tindakan sewajarnya dalam siasatan kes kematian Amini.

"Ia semestinya perlu disiasat. Saya telah menghubungi keluarganya dengan segera dan memberi jaminan kepada mereka bahawa kami akan terus menyiasat kejadian itu dengan teliti. Keutamaan kami ialah menjaga hak setiap rakyat," katanya.

Pertempuran antara pasukan keselamatan Iran dengan penunjuk perasaan yang berang dengan insiden kematian Amini, mengakibatkan sekurang-kurang sembilan orang maut sejak rusuhan tercetus pada hujung minggu lalu, menurut penjumlahan oleh The Associated Press setakat semalam.

Polis Iran mendakwa, Amini yang ditahan polis moral kerana melanggar kod pakaian, meninggal dunia akibat serangan jantung dan tidak dilayan secara buruk. Bagaimanapun, keluarganya meragui perkara itu.

Ketegangan semakin memuncak sejak lima hari lalu, antara lain menyaksikan sebilangan wanita bertindak menanggalkan dan membakar tudung mereka di jalanan, selain penunjuk perasaan lantang menggesa supaya kerajaan sedia ada dijatuhkan.

Tunjuk perasaan kali ini adalah yang paling serius sejak 2019 di mana bantahan tercetus selepas kerajaan menaikkan harga gas ketika itu.

Mengulas lanjut, Raisi berkata, perkara buruk juga berlaku terhadap orang dalam tangan pihak berkuasa di serata tempat lain.

"Bagaimana dengan kematian rakyat AS dalam tangan penguat kuasa undang-undang negara itu?" soalnya yang turut menyebut mengenai kematian wanita di Britain yang didakwanya tidak disiasat.

Justeru, beliau menggesa supaya 'standard sama' digunakan di seluruh dunia dalam menangani kes kematian seumpama itu yang berlaku dalam tangan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Raisi berkata, keputusan inkuiri atas kes kematian Amini akan ditentukan oleh badan kehakiman Iran.

Sambil menjelaskan demonstrasi adalah normal dan diterima sepenuhnya, beliau berkata, bagaimanapun perlu dibezakan antara tunjuk perasaan dengan vandalisme. - AP

Berita Harian X