Khamis, 11 Ogos 2022 | 12:06pm
Kakitangan perubatan menyediakan dos vaksin cacar monyet untuk suntikan. - Foto AFP
Kakitangan perubatan menyediakan dos vaksin cacar monyet untuk suntikan. - Foto AFP

Kanada sahkan lebih 1,000 kes cacar monyet

OTTAWA: Agensi Kesihatan Awam Kanada (PHAC) mengesahkan 1,008 kes cacar monyet di negara itu setakat Rabu lalu dan kadar jangkitan semakin meningkat.

Menurut agensi berkenaan, kes yang disahkan itu termasuk 478 kes dari Ontario, 425 dari Quebec, 85 dari British Columbia, 16 dari Alberta dan masing-masing dua di Saskatchewan serta Yukon.

Katanya, angka berkenaan dijangka meningkat berikutan semakin banyak daerah dan wilayah terus melaporkan kes cacar monyet yang disahkan Makmal Mikrobiologi Kebangsaan PHAC.

PHAC juga sudah mengedarkan lebih 80,000 dos vaksin Imvamune ke semua daerah dan wilayah terjejas serta menggesa lebih banyak makmal di seluruh negara turut menyertai ujian cacar monyet dengan agensi itu menyediakan bahan selain protokol ujian.

Pakar berkata, cacar monyet adalah penyakit viral yang boleh merebak antara manusia menerus kontak rapat dengan orang dijangkiti termasuk memeluk, bercumbu, mengurut atau mengadakan hubungan seks.

Sementara itu, Guatemala semalam mengesahkan kes pertama cacar monyet di negara Amerika Selatan itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam dan Bantuan Sosial, mangsa adalah seorang lelaki berusia 31 tahun di ibu negara, Guatemala City.

mangsa kini dikuarantin di rumah kerana tidak perlu dimasukkan ke hospital tetapi kekal di bawah pemantauan doktor dari Kementerian Kesihatan.

Makmal Kesihatan Kebangsaan yang melakukan ujian mengesahkan kes itu turut menolak satu kes yang disyaki cacar monyet manakala tiga lagi kes masih dalam siasatan.

Cacar monyet boleh merebak menerusi konta langsung atau tidak langsung dengan darah, cecair badan, lepuhan kulit, selaput mukus atau bahan yang tercemar oleh virus berkenaan.

Pada 23 Julai lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan cacar monyet sebagai 'kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan pada peringkat antarabangsa'. - AGENSI

Berita Harian X