Jumaat, 15 Julai 2022 | 8:48am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

COVID-19: Kanada lulus pemberian vaksin kepada bayi 6 bulan

OTTAWA: Kanada semalam meluluskan pemberian vaksin COVID-19 keluaran Moderna Inc kepada bayi berumur semuda enam bulan.

Health Canada ketika mengumumkan perkara itu memaklumkan, ia adalah pelalian COVID-19 yang pertama diberikan kepada golongan kanak-kanak berusia bawah lima tahun di negara ini.

Kanada sudah menawarkan vaksin Spikevax keluaran Moderna kepada kanak-kanak berumur lima tahun ke atas sejak Mac lalu.

Menurut Health Canada, perkembangan terbaru itu menyaksikan kira-kira 1.7 juta kanak-kanak lagi kini layak menerima pelalian dalam usaha mengekang penularan virus berkenaan.

Moderna mengemukakan permohonan sejak akhir April lalu untuk memperluas golongan yang layak menerima vaksin keluarannya.

"Selepas melakukan kajian saintifik yang teliti dan bebas terhadap bukti, Health Canada berjaya menentukan bahawa manfaat vaksin ini kepada kanak-kanak berumur antara enam bulan hingga lima tahun, adalah melebihi potensi risiko," katanya dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa kesihatan itu sekali gus mengesyorkan kanak-kanak berusia bawah lima tahun disuntik satu per empat daripada kadar dos yang diluluskan kepada individu berusia 12 tahun ke atas.

"Vaksin adalah selamat serta berkesan, dan ia kekal sebagai benteng terbaik bagi melindungi daripada jatuh sakit teruk serta kemasukan ke hospital.

"Oleh itu, tolong dapatkan suntikan vaksin untuk diri serta anak-anak anda," kata Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, melalui Twitter selepas kelulusan berkenaan.

Program vaksinasi menerima sambutan baik di Kanada dengan kira-kira 82 peratus daripada seluruh rakyat negara ini sudah menerima suntikan dua dos pelalian COVID-19.

Ia termasuk lebih 40 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang sudah lengkap vaksinasi, setakat ini. - REUTERS

Berita Harian X