Ahad, 10 Julai 2022 | 3:08pm
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. - Foto EPA
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. - Foto EPA

Biden ucap selamat menyambut Aidiladha kepada umat Islam

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan isteri, Jill Biden mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada umat Islam seluruh dunia.

"Saya dan Jill mengucap selamat menyambut Aidiladha kepada umat Islam di seluruh Amerika Syarikat dan seluruh dunia," kata Biden dalam satu kenyataan.

"Tradisi Aidiladha dan ibadah haji yang memperingati pengabdian Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail kepada Allah SWT adalah peluang bagi umat Islam untuk memperbaharui iman mereka, dan peringatan mengenai agama Islam.

"Tindakan berkongsi pengorbanan dengan mengagihkan daging korban kepada mereka yang kurang bernasib baik mencerminkan komitmen kami untuk bekerjasama bagi menghadapi cabaran di dunia hari ini," katanya.

Biden turut memuji orang Islam Amerika kerana memimpin di barisan hadapan untuk membantu mereka yang menderita kelaparan dan konflik di AS, lapor agensi berita Anadolu.

"Kepada semua yang menunaikan ibadah haji supaya mendapat haji yang mabrur," katanya. - AGENSI

Berita Harian X