Khamis, 30 Jun 2022 | 2:45pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Pfizer, AS meterai kontrak baharu vaksin COVID-19 bernilai AS$3.2 bilion

NEW YORK: Pfizer Inc dan rakan kongsinya, BioNTech SE menandatangani perjanjian membabitkan 105 juta dos vaksin COVID-19 bernilai AS$3.2 bilion (RM14.2 bilion) dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang boleh dihantar sebelum akhir musim panas ini.

Menurut Pfizer, ia termasuk pembekalan vaksin diolah semula bagi disesuaikan dengan Omicron, sementara menunggu kelulusan kawal selia.

Pengeluar ubat membangunkan vaksin menyasarkan varian Omicron yang dominan pada musim sejuk lalu.

Purata harga setiap dos dalam perjanjian baharu itu melebihi AS$30 (RM132.16), peningkatan lebih daripada 50 peratus berbanding AS$19.50 (RM85.91) satu dos yang dibayar kerajaan AS menerusi kontrak awalnya dengan Pfizer.

Beberapa vaksin bagi golongan dewasa termasuk dalam kontrak akan dihasilkan dos tunggal yang lebih mahal untuk dikeluarkan, namun mengurangkan pembaziran suntikan tidak digunakan berbanding sebelum ini.

Pegawai Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS), Dawn O'Connell dalam satu kenyataan, berkata pihaknya menantikan penghantaran vaksin khusus bagi varian baharu itu.

Beliau juga menantikan kerjasama dengan jabatan kesihatan negeri dan tempatan, farmasi, penyedia penjagaan kesihatan, pusat kesihatan yang layak secara persekutuan dan rakan kongsi lain untuk menjadikannya tersedia dalam komuniti di seluruh negara pada musim luruh ini.

Penasihat Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS, Selasa lalu, mengesyorkan perubahan reka bentuk suntikan penggalak COVID-19 bagi musim luruh untuk memerangi penularan varian COVID-19, baru-baru ini.

Pfizer berkata, kerajaan AS juga mempunyai pilihan untuk membeli sehingga 195 juta dos tambahan, menjadikan jumlah potensi dos kepada 300 juta.

Kontrak baharu itu dijangka meningkatkan jualan vaksin 2022 bagi Pfizer dan BioNTech, yang berkongsi keuntungan, selain Pfizer meramalkan jualan vaksin COVID-19 sebanyak AS$32 bilion (RM140.98 bilion), tahun ini, manakala penganalisis secara purata menjangkakan jualan 2022 sekitar AS$33.6 bilion (RM148.02 bilion) bagi suntikan itu.

Menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, hampir 450 juta dos vaksin PfizerBioNTech diagihkan kerajaan AS sejak Disember 2020 dengan lebih 350 juta daripadanya sudah diberikan. - REUTERS

Berita Harian X