Sabtu, 11 Jun 2022 | 11:42am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Vaksin COVID-19 Moderna selamat untuk kanak-kanak - FDA

WASHINGTON: Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat berkata vaksin COVID-19 Moderna Inc dibuktikan selamat dan berkesan untuk digunakan pada kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 17 tahun.

Sehubungan itu, jawatankuasa saintis yang akan bermesyuarat minggu hadapan akan mengundi sama ada ia akan disyorkan oleh pengawal selia berkenaan untuk diberikan kepada kanak-kanak.

FDA dalam dokumen taklimat yang diterbitkan semalam berkata, vaksin itu menghasilkan tindak balas imun yang sama pada orang dewasa dalam ujian sebelumnya.

"Data yang tersedia menyokong keberkesanan Vaksin Moderna COVID-19 dalam mencegah gejala COVID-19 dalam kumpulan umur pediatrik dari 6 bulan hingga 17 tahun," kata pegawai FDA.

Pegawai FDA juga berkata, vaksin itu secara amnya mempunyai profil kesan sampingan yang sama seperti pada orang dewasa, walaupun kanak-kanak lebih kerap mengalami demam.

Kedua-dua vaksin COVID-19 berasaskan teknologi mRNA Moderna dan Pfizer/BioNTech sebelum ini dikaitkan dengan kejadian yang jarang berlaku bagi sejenis keradangan jantung yang dipanggil miokarditis, terutamanya kepada golongan muda.

Sesetengah negara di Eropah mengehadkan penggunaan Moderna untuk kumpulan umur lebih muda selepas beberapa kajian menunjukkan bahawa ia dikaitkan dengan risiko keradangan jantung yang lebih tinggi.

FDA berkata, miokarditis adalah risiko yang diketahui berkaitan dengan vaksin, tetapi ujian pediatrik pembuat ubat itu tidak cukup untuk mengukur kekerapan keradangan jantung bagi kumpulan berkenaan.

Vaksin Pfizer/BioNTech sudah dibenarkan di AS untuk penerima berumur lima tahun ke atas dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS berkata, pada bulan Mei lalu bahawa laporan miokarditis selepas divaksin itu jauh lebih rendah ke atas kanak-kanak lelaki berumur lima hingga 11 tahun. - REUTERS

Berita Harian X