Sabtu, 28 Mei 2022 | 11:30am
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Argentina sahkan kes pertama cacar monyet di Latin Amerika

BUENOS AIRES: Argentina mengesahkan kes pertama cacar monyet di Amerika Latin membabitkan pengembara yang pulang selepas mengunjungi Sepanyol.

Laporan media tempatan menyatakan pesakit berusia 40 tahun itu dikatakan baru pulang dari Sepanyol, di mana kerajaannya melaporkan 59 kes, dua hari lalu.

Kementerian Kesihatan Argentina, dalam satu kenyataan, berkata keputusan ujian saringan reaksi rantaian polimerase (PCR), bagi suspek pertama kes cacar monyet adalah positif.

Petugas penjagaan kesihatan sedang merawat simptom pesakit dan kontak rapatnya yang tidak bergejala setakat ini, sedang dipantau.

Kementerian Kesihatan turut mendedahkan seorang penduduk Sepanyol yang melawat Argentina dan tidak mempunyai kaitan dengan pesakit sebelumnya, adalah suspek kedua.

"Individu ini mempunyai luka ulser tanpa simptom berkaitan yang lain," katanya.

Cacar monyet adalah virus berjangkit dan boleh dipindahkan kepada manusia menerusi haiwan yang dijangkiti.

jangkitan antara manusia kepada manusia juga direkodkan tetapi amat jarang berlaku.

Cacar monyet mempunyai kaitan dengan cacar namun tidak terlalu teruk, dengan simptom awal termasuk demam panas, bengkak kelenjar dan ruam seperti cacar air.

Tiada rawatan khusus, namun vaksinasi terhadap cacar didapati mempunyai 85 peratus keberkesanan bagi mencegah cacar monyet.

Ia ditemui buat pertama kalinya di Republik Demokratik Congo pada 1970 dan dianggap sebagai endemik di sekitar 12 negara Afrika.

Kemunculannya di negara bukan endemik merisaukan ramai pakar, walaupun setakat ini, kes yang dilaporkan adalah sederhana dan tiada kematian.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Awam Ecuador semalam turut melaporkan kes pertama cacar monyet yang disahkan di negara itu, membabitkan seorang lelaki dari Quito yang mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika.

Pesakit menunjukkan gejala demam serta ruam kulit dan sudah diasingkan untuk pemantauan rapi manakala kontak rapatnya turut diawasi.

Tambah kementerian terbabit, Institut Penyelidikan Kesihatan Awam Kebangsaan turut mengambil sampel bagi mengesahkan jangkitan cacar monyet.

Pihak kementerian juga sudah menempah 1,000 kit ujian cacar monyet yang dijangka tiba dalam masa seminggu lagi. - AGENSI

Berita Harian X