Ahad, 15 Mei 2022 | 9:26am
(Gambar fail) Insiden tumpahan minyak memusnahkan pesisir pantai di Peru pada Januari lalu. - FOTO AFP
(Gambar fail) Insiden tumpahan minyak memusnahkan pesisir pantai di Peru pada Januari lalu. - FOTO AFP

Peru saman syarikat Repsol, tuntut ganti rugi AS$4.5 bilion

LIMA: Peru memfailkan saman dan menuntut ganti rugi AS$4.5 bilion (RM19.79 bilion), termasuk terhadap syarikat tenaga Sepanyol, Repsol, berhubung insiden tumpahan minyak yang memusnahkan pesisir pantainya pada Januari lalu.

Agensi perlindungan pengguna Peru memaklumkan, saman itu difailkan di Mahkamah Sivil di Lima terhadap enam syarikat meliputi Repsol (Sepanyol), Mapfre Global Risks (Sepanyol), Mapfre Peru Insurance and Reinsurance Companies (Peru), La Pampilla Refinery (Peru), Transtotal Maritime Agency (Peru) dan Fratelli d'amico Armatori (Itali; pemilik kapal tangki terbabit).

Pengarah Eksekutif Institut Kebangsaan bagi Pertahanan Persaingan dan Perlindungan Harta Intelek (INDECOPI), Julian Palacin dalam satu kenyataan, semalam, berkata saman itu boleh mewujudkan duluan untuk kes tumpahan minyak yang menyebabkan kemusnahan serta kerosakan bukan material yang terkumpul akibat pencemaran alam sekitar di kawasan pesisir pantai.

INDECOPI menuntut AS$3 bilion (RM13.19 bilion) bagi kerosakan alam sekitar pada pesisir pantai Peru, serta AS$1.5 bilion (RM6.6 bilion) sebagai ganti rugi kepada pengguna, penduduk tempatan dan pihak lain yang terjejas akibat bencana itu.

Repsol dalam satu kenyataan, semalam, bagaimanapun menolak saman itu yang disifatkan sebagai tidak berasas.

"Anggaran (oleh INDECOPI) itu kekurangan (aspek) minimum yang diperlukan untuk menyokong angka ditunjukkan," katanya merujuk kepada AS$4.5 bilion dituntut oleh Peru.

Insiden tumpahan minyak itu berlaku pada 15 Januari lalu ketika kapal tangki dengan bendera Itali, 'Mare Doricum', sedang memunggah minyak mentah di kilang penapisan milik Repsol, La Pampilla di Ventanilla, kira-kira 30 kilometer utara Lima.

Syarikat minyak itu mengaitkan insiden berkenaan dengan badai ombak akibat letupan besar gunung berapi di Pulau Tonga, di seberang Laut Pasifik, manakala Kerajaan Peru menyifatkannya sebagai 'bencana ekologi'.

Tumpahan minyak itu menjejaskan lebih 700,000 penduduk yang kebanyakannya nelayan, dan memaksa penutupan 20 kawasan pantai serta puluhan perniagaan di kawasan terbabit. - AFP

Berita Harian X