Sabtu, 30 April 2022 | 7:46am
 Foto fail REUTERS
Foto fail REUTERS

Paxlovid gagal cegah jangkitan isi rumah - Pfizer

NEW YORK: Pfizer Inc berkata percubaan mendapati rawatan antiviral oral COVID-19 Paxlovid tidak berkesan dalam mencegah jangkitan kepada individu tinggal bersama mereka yang terdedah kepada virus itu.

Percubaan yang mendaftarkan 3,000 orang dewasa selaku kenalan isi rumah yang terdedah kepada individu ada simptom dan diuji positif COVID-19.

Mereka sama ada diberi Paxlovid selama lima atau 10 hari atau plasebo.

Mereka yang mengambil ubat selama lima hari didapati 32 peratus kurang berkemungkinan dijangkiti daripada kumpulan plasebo. Ia meningkat kepada 37 peratus dengan 10 hari Paxlovid.

Walau bagaimanapun, keputusannya tidak signifikan secara statistik dan mungkin secara kebetulan.

Pfizer berkata data keselamatan dalam percubaan adalah konsisten dengan kajian terdahulu, yang menunjukkan pil berkenaan 90 peratus berkesan untuk mencegah kemasukan ke hospital dalam kalangan individu berisiko tinggi apabila diambil selama lima hari sejurus selepas permulaan simptom.

"Walaupun kami kecewa dengan hasil kajian khusus ini, keputusan ini tidak memberi kesan kepada keberkesanan dan data keselamatan yang kukuh yang kami perhatikan dalam percubaan awal kami untuk rawatan pesakit COVID-19... dan kami gembira melihat penggunaan global Paxlovid yang semakin meningkat dalam populasi itu," kata Ketua Eksekutif Pfizer Albert Bourla dalam satu kenyataan.

Pfizer berkata Paxlovid, yang terdiri daripada dua ubat antivirus berbeza, kini diluluskan atau dibenarkan untuk kegunaan bersyarat atau kecemasan di lebih 60 negara di seluruh dunia untuk merawat pesakit COVID-19 berisiko tinggi. - REUTERS

Berita Harian X