Rabu, 27 April 2022 | 12:47pm
Ramai pengembara yang menunggu bagi menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, Florida di Amerika Syarikat (AS) tidak lagi memakai pelitup muka selepas syarat itu ditamatkan awal minggu lalu. - Foto AFP
Ramai pengembara yang menunggu bagi menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, Florida di Amerika Syarikat (AS) tidak lagi memakai pelitup muka selepas syarat itu ditamatkan awal minggu lalu. - Foto AFP

Lebih 60 peratus penduduk AS dijangkiti COVID-19 setakat Februari

WASHINGTON: Sebanyak 58 peratus daripada penduduk di Amerika Syarikat (AS) atau lebih 190 juta orang, sudah dijangkiti COVID-19 setakat Februari lalu.

Perangkaan hasil tinjauan antibodi kendalian Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) semalam merekodkan kadar lebih tinggi berbanding jumlah rasmi 80 juta kes, kebanyakan jangkitan tidak didiagnosis, tiada gejala dan tidak dilaporkan.

Berdasarkan maklumat tinjauan yang dipaparkan CDC, sekitar 75 peratus daripada individu berusia 18 tahun dijangkiti wabak berkenaan.

Sebelum ini, terdapat peningkatan mendadak membabitkan varian Omicron ketika musim sejuk lalu, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Setiap bulan bagi tempoh dari September 2021 hingga Januari tahun ini, kajian berkenaan meneliti 75,000 spesimen darah yang diambil dari seluruh negara, termasuk 45,000 sampel pada Februari lalu.

Kajian itu hanya meneliti antibodi dihasilkan sebagai tindakan balas jangkitan, bukan menerusi suntikan vaksin.

Unjuran kebangsaan kemudian dihasilkan menerusi kaedah statistik mengikut jantina, umur dan status metropolitan.

Peneraju bersama pasukan petugas serologi COVID-19 kebangsaan, Kristie Clarke, berkata dengan adanya antibodi dihasilkan menerusi jangkitan, tidak bermakna seseorang dilindungi daripada sebarang jangkitan pada masa depan.

"Bukti menunjukkan jangkitan terdahulu ada memberikan perlindungan daripada mengalami sakit teruk dan dimasukkan ke hospital selain vaksinasi, sama ada sebelum atau selepas jangkitan, memberikan perlindungan tambahan," katanya.

Clarke menegaskan, pengambilan suntikan imunisasi COVID-19 mengikut jadual sedia ada penting, memandangkan tempoh imuniti pasca jangkitan semula jadi tidak dapat ditentukan.

AS ketika ini menawarkan suntikan dos vaksin keempat kepada individu berusia 50 tahun ke atas dan suntikan dos ketiga kepada mereka yang berada di bawah lingkungan usia berkenaan.

Pfizer semalam berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan (FDA) untuk membenarkan suntikan dos penggalak atau dos ketiga kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, berikutan data imuniti yang memberikan tindak balas memberangsangkan.

Kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah ketika ini satu-satunya kelompok yang belum layak menerima suntikan vaksin.

"Langkah terbaik untuk melindungi mereka ialah dengan memastikan orang di sekeliling mengambil kaedah pencegahan, seperti menerusi suntikan vaksin," kata Clarke.

Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden, semalam mengumumkan penambahan dua kali ganda premis bagi mengedar pil terapeutik COVID-19 secara percuma.

Ubat seperti Paxlovid keluaran Pfizer dilihat sebagai 'senjata' ampuh dalam menangani penularan jangkitan COVID-19, yang pada tahun lalu mengorbankan lebih 3,000 orang setiap hari di AS.

Rumah Putih juga mengesahkan bahawa Naib Presiden AS, Kamala Harris, positif COVID-19 semalam, namun tidak mengalami sebarang gejala dan bukan dikategorikan sebagai kontak rapat kepada Biden. - AFP

Berita Harian X