Khamis, 14 April 2022 | 9:56pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Kes COVID dunia melebihi 500 juta jangkitan

WASHINGTON: Kes COVID-19 di seluruh dunia melepasi jumlah 500 juta jangkitan akibat penularan sub-varian BA.2 Omicron yang lebih mudah berjangkit di kebanyakan negara Eropah dan Asia.

Sub-varian BA.2 Omicron adalah penyebab utama peningkatan kes di China dan Eropah, yang turut digelar sebagai 'varian tersembunyi' kerana sukar dikesan berbanding yang lain.

Korea Selatan mendahului dunia dalam jumlah purata kes harian baharu dengan mencatatkan lebih 182,000 jangkitan baharu dalam sehari dan menyumbang kepada satu kes daripada empat jangkitan di seluruh dunia.

Kes baharu turut meningkat di 20 daripada lebih 240 negara dan wilayah, termasuk Taiwan, Thailand dan Bhutan.

Shanghai kini berperang dengan penularan COVID-19 terburuk dengan hampir 25,000 kes tempatan baharu, walaupun dasar kuarantin bandar itu menerima kritikan kerana memisahkan anak daripada ibu-bapa.

Ia turut turut meletakkan pesakit tidak bergejala bersama pesakit lain yang mempunyai simptom.

Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran, Wu Qianyu, berkata kawalan dan pencegahan epidemik Shanghai berada di peringkat paling sukar dan kritikal.

Sementara itu, jumlah kes baharu di sesetengah negara Eropah dilihat semakin perlahan, malah, terdapat penurunan

Bagaimanapun wilayah itu masih melaporkan lebih sejuta kes setiap dua hari.

Di Jerman, purata kes jangkitan baharu dalam tujuh hari mula menurun dan kini berada pada 59 peratus daripada kemuncak yang dialami sebelumnya pada akhir bulan Mac.

Kes baharu turut menurun di United Kingdom dan Itali, manakala angka kes masih tidak berubah di Perancis.

Secara keseluruhannya, kes COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) menurun secara mendadak selepas mencatatkan rekod tertinggi pada Januari.

Kes di Asia dan Eropah, bagaimanapun menimbulkan kebimbangan bahawa satu lagi gelombang akan turut melanda AS.

Agensi Kesihatan Awam Kebangsaan AS, berkata Sub-varian BA.2 Omicron dianggarkan mencakupi hampir tiga daripada setiap empat varian coronavirus di negara itu. - REUTERS

Berita Harian X