Selasa, 5 April 2022 | 8:54am
Pengembara dengan memakai pelitup muka sebagai perlindungan terhadap penularan COVID-19 menuntut semula bagasi mereka di lapangan terbang di Denver, Colorado. - Foto REUTERS
Pengembara dengan memakai pelitup muka sebagai perlindungan terhadap penularan COVID-19 menuntut semula bagasi mereka di lapangan terbang di Denver, Colorado. - Foto REUTERS

72 peratus COVID-19 di AS adalah subvarian Omicron BA.2

WASHINGTON: Agensi kesihatan awam kebangsaan Amerika Syarikat (AS) semalam mengatakan, subvarian BA.2 mungkin akan mempelopori tiga daripada empat varian COVID-19 di negara itu.

Keseluruhan kes COVID-19 di AS menurun secara mendadak selepas mengalami kemuncak pada Januari, namun peningkatan semula kes di beberapa bahagian Asia dan Eropah mencetuskan kebimbangan bahawa gelombang lain mungkin menyusul di AS.

Pakar kesihatan negara bagaimanapun percaya perkara sedemikian tidak mungkin berlaku.

Purata pergerakan tujuh hari kes COVID-19 AS adalah sebanyak 26,106 pada 1 April, sedikit lebih rendah daripada 26,309 pada minggu sebelumnya, mengikut data daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

Subvarian BA.2 yang sangat mudah ditularkan dikatakan membentuk kira-kira 72.2 peratus daripada varian COVID-19 di AS pada 2 April, dengan peningkatan hampir 57.3 peratus berbanding minggu sebelumnya, mengikut unjuran CDC.

Sementara itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), BA.2 kini membentuk kira-kira 86 peratus daripada keseluruhan kes di seluruh dunia.

Ia diketahui lebih mudah ditularkan daripada sub-varian BA.1 dan BA.1.1 Omicron, bagaimanapun, bukti setakat ini menunjukkan ia tidak mungkin menyebabkan penyakit yang teruk.

Dalam keadaan imuniti yang semakin berkurangan dan risiko yang ditimbulkan oleh varian Omicron, pengawal selia kesihatan AS minggu lalu membenarkan dos penggalak kedua vaksin Pfizer/BioNtech dan Moderna untuk mereka berusia 50 tahun ke atas, serta golongan muda yang mempunyai sistem imun yang terjejas. - REUTERS

Berita Harian X