Khamis, 3 March 2022 | 8:47am
Foto hiasan
Foto hiasan

Polis Kanada, New Zealand tahan 47 individu terbabit jenayah pornografi kanak-kanak

TORONTO: Seramai 47 individu ditahan kerana mengeksploitasi kanak-kanak secara seksual dalam talian menerusi operasi bersama polis Kanada dan New Zealand.

Kerjasama menerusi Operasi H itu turut berhasil menyelamatkan 12 kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah terbabit.

Pegawai Pusat Jenayah Eksploitasi Kanak-Kanan Polis Diraja Kanada (NCECC), Andre Boileau, berkata penahanan itu dibuat di beberapa wilayah di Kanada dan suspek juga didakwa kerana memiliki bahan pornografi kanak-kanak.

Katanya, semua suspek yang juga rakyat Kanada dijangka dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat.

"Hasil siasatan selama dua tahun, sebanyak 186 pertuduhan akan dikenakan di Kanada. Siasatan lanjut masih berjalan.

"Eksploitasi kanak-kanak secara seksual dalam talian adalah jenayah tanpa sempadan dan merupakan antara jenayah paling kejam menyasarkan golongan paling terdedah iaitu anak-anak kita," katanya dalam kenyataan.

Operasi H dilancarkan di New Zealand pada 2019 oleh Pasukan Eksploitasi Kanak-Kanak Digital Jabatan Dalam Negeri (DIA) selepas menerima maklumat kewujudan ramai pelanggan menggunakan platform tidak dinamakan untuk berkongsi bahan seksual kanak-kanak secara dalam talian.

Pasukan terbabit kemudian menyalurkan maklumat kepada NCECC mengenai storan awan membabitkan lebih 90,000 akaun dalam talian mengandungi bahan terlarang berkenaan.

Mengulas lanjut, Boileau berkata, operasi terbabit mengumpulkan pelbagai agensi antarabangsa termasuk Polis Kesatuan Eropah (Europol) dan Polis Antarabangsa (INTERPOL).

Katanya, sebanyak 12 negara terbabit dengan 832 kes antarabangsa disiasat dan 146 kanak-kanak dilindungi.

"Operasi H adalah contoh utama bagaimana kerjasama global boleh membantu kita melindungi kanak-kanak," katanya. - REUTERS

Berita Harian X