Khamis, 17 Februari 2022 | 10:41am
Kimberly Cooper dibawa ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan campur tangan hak penjagaan dan membahayakan nyawa kanak-kanak. - Foto REUTERS
Kimberly Cooper dibawa ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan campur tangan hak penjagaan dan membahayakan nyawa kanak-kanak. - Foto REUTERS

Kanak-kanak diculik ditemui bawah tangga lepas 2 tahun

NEW YORK: Selepas dua tahun hilang, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemui dalam keadaan sihat dalam sebuah bilik diubah suai di bawah tangga di New York, Amerika Syarikat (AS).

Pihak berkuasa mengesyaki kanak-kanak berkenaan diculik oleh ibu bapa sebenarnya yang tidak diberi hak penjagaan.

Pegawai polis menemui kanak-kanak berkenaan, Paislee Shultis, pada Isnin lalu di sebuah rumah di pekan Saugerties, dua tahun selepas hilang dari Spencer, New York, kira-kira 290 kilometer (km) ke barat, kata Jabatan polis Saugerties dalam satu kenyataan.

Pada masa itu, polis percaya ini bapa sebenarnya, Kimberly Cooper, 33 dan Kirk Shultis Jr, 32, menculiknya selepas dinafikan hak penjagaan.

Isnin lalu, berdasarkan maklumat mengenai lokasi kanak-kanak terbabit, polis memperoleh waran geledah dan memeriksa rumah datuknya.

Mereka mencari selama sejam sebelum menemui kanak-kanak berkenaan dalam sebuah bilik yang diubah suai di bawah tangga menuju ke ruang bawah tanah, yang sudah ditutup.

Apabila kepingan papan dialih, kanak-kanak berkenaan ditemui bersembunyi di ruang gelap dan lembap di bawah bersama ibunya.

Paislee dibawa ke ibu pejabat polis di mana kakitangan perubatan memeriksanya dan polis memberitahu akhbar tempatan, Daily Freeman, bahawa kanak-kanak berkenaan sihat dan akan diserahkan kepada penjaganya yang sah.

Polis menahan ibu bapa kanak-kanak berkenaan dan datuknya, Kirk Shultis, 57, yang kini menghadapi tuduhan campur tangan hak penjagaan dan membahayakan nyawa kanak-kanak.

Polis berkata mereka menyoal siasat Kirk Shultis Jr beberapa kali sejak kanak-kanak berkenaan hilang tetapi dia mendakwa tidak mengetahui lokasi anaknya dan tidak melihatnya. - REUTERS

Berita Harian X