Rabu, 2 Februari 2022 | 1:46pm
Kawasan kejiranan La Gasca dan La Comuna di bawah cerun gunung Rucu Pichincha terjejas teruk dalam kejadian tanah runtuh. - Foto AP
Kawasan kejiranan La Gasca dan La Comuna di bawah cerun gunung Rucu Pichincha terjejas teruk dalam kejadian tanah runtuh. - Foto AP

24 terbunuh, 12 masih hilang tanah runtuh di Ecuador

QUITO: Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di ibu negara Ecuador, manakala 12 lagi masih hilang, kata Datuk Bandar Santiago Guarderas, semalam ketika pasukan keselamatan sedang melakukan kerja menyelamat dan membersihkan jalan yang dilitupi lumpur.

Ia adalah kejadian banjir terburuk dalam tempoh hampir dua dekad.

Hujan lebat kelmarin mengakibatkan limpahan air di gaung berhampiran kawasan kejiranan didiami pekerja La Gasca dan La Comuna, menyebabkan lumpur dan batu melimpah ke kawasan kediaman serta menjejaskan bekalan elektrik.

Agensi pengurusan bencana negara itu berkata, seramai 48 orang cedera dalam kejadian berkenaan.

"Kami menyaksikan aliran sungai hitam yang besar meranapkan segala yang ada sepanjang sungai, sekali gus memaksa kami memanjat tembok untuk melarikan diri.

"Kami kini sedang mencari mangsa lain yang hilang," kata penduduk, Alba Cotacachi, yang memindahkan dua anak perempuannya dari rumahnya.

Rakaman visual diperoleh Reuters menunjukkan seorang lelaki bergelut untuk menyelamatkan diri daripada air berlumpur yang meluru ke kawasan laluan kediaman.

Saksi Reuters berkata, lelaki itu dihanyutkan sambil mangsa menjerit meminta tolong.

Sementara itu, video lain menunjukkan arus deras menghanyutkan pokok, kenderaan, tong sampah dan juga tiang elektrik, manakala beberapa orang diselamatkan daripada ditenggelami air berlumpur oleh jiran.

Pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku lagi kejadian tanah runtuh.

Pejabat datuk bandar menyediakan tempat perlindungan untuk keluarga yang terjejas dan mula membersihkan jalan di bandar berkenaan Ecuador menghadapi hujan lebat di beberapa kawasan yang menyebabkan limpahan arus sungai dan menjejaskan ratusan rumah dan jalan raya. - Reuters

Berita Harian X