Isnin, 31 Januari 2022 | 9:59am
Pekerja menyalurkan minyak mentah ke kolam takungan sementara bagi membaik pulih kebocoran saluran paip minyak yang mencemari Sungai the Piedra Fina di hutam Amazon, Ecuador. - Foto EPA
Pekerja menyalurkan minyak mentah ke kolam takungan sementara bagi membaik pulih kebocoran saluran paip minyak yang mencemari Sungai the Piedra Fina di hutam Amazon, Ecuador. - Foto EPA

Ecuador pantau operasi bersih tumpahan minyak di hutan Amazon

QUITO: Kerajaan Ecuador memantau rapi perkembangan operasi pembersihan tumpahan minyak di hutan Amazon yang berisiko mencemarkan sungai di situ.

Tambahan pula, hujan lebat yang menyebabkan tanah runtuh di Piedra Fina di wilayah timur Napo pada Jumaat lalu turut memburukkan keadaan.

Menurut pegawai sebuah kementerian semalam, terdapat bahagian paip yang terkena batu menyebabkan minyak bocor dalam kuantiti besar.

Semalam, Kementerian Alam Sekitar memaklumkan pihaknya terus mengesahkan aktiviti luar jangka, dengan pembersihan dan pemulihan di kawasan terjejas sedang dijalankan secukupnya.

Pemilik OCP Ecuador semalam berkata pihaknya mula membaiki paip yang rosak dan minyak mentah sudah pun dikumpulkan dalam kolam sementara sebelum ia salurkan ke lori tangki di stesen Lago Agrio.

Presiden Eksekutif OCP, Jorge Vugdelija, menyifatkan kes terbabit sebagai 'force majeure' atau keadaan luar biasa yang tidak dapat dikawal manusia.

Menurut seorang pegawai Kementerian Alam Sekitar, kebocoran minyak menyebabkan sumber air terjejas tetapi tidak memperincikan sungai mana.

Semalam, kementerian memberitahu Sungai Coca yang membekalkan air kepada beberapa komuniti Amazon antara yang berisiko terjejas.

Jajaran paip OCP boleh menyalurkan sehingga 450,000 tong minyak sehari dari Amazon ke pelabuhan di pesisir pantai pasifik, meskipun syarikat hanya dibenar melombong 160,000 tong antara Januari dan November 2021.

kelmarin, syarikat berkenaan mengumumkan penggantungan sementara proses mengepam tanpa menjejaskan eksport komoditi itu.

Disember lalu, OCP dan syarikat SOTE terpaksa membina cawangan alternatif merangkumi jajaran paip di Piedra Fina kerana berlaku hakisan tanah disebabkan sungai.

Pada Mei 2020 di kawasan sama, tanah runtuh memusnahkan kedua-dua jajaran paip SOTE dan OCP, menyaksikan 15,000 tong minyak mencemarkan tiga sungai lembangan Amazon selain menjejaskan beberapa komuniti di tepi sungai. - AFP

Berita Harian X