Jumaat, 14 Januari 2022 | 3:39pm
(Gambar fail) Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - FOTO REUTERS
(Gambar fail) Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - FOTO REUTERS

Cegah 'mimpi ngeri' semakin buruk di Afghanistan - PBB

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Bank Dunia supaya menarik balik pembekuan terhadap dana Afghanistan, bagi mengelakkan 'mimpi ngeri' di negara itu daripada menjadi semakin buruk.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata tindakan itu harus dilakukan segera demi kepentingan rakyat Afghanistan, berikutan negara terbabit berdepan pembekuan dana sejak Taliban kembali berkuasa.

"Kita mesti segera menyuntik kecairan ke dalam ekonomi dan mengelakkan 'kehancuran' yang akan membawa kepada kemiskinan, kebuluran serta kemelaratan berjuta-juta penduduk," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Selepas Taliban mengambil alih kuasa pada pertengahan Ogos lalu ketika pasukan tentera AS berundur dari Afghanistan, negara itu dilaporkan kini berada di ambang bencana kemanusiaan.

Aset berbilion dolar dibekukan oleh Washington, bekalan bantuan mengalami gangguan teruk, dan lebih separuh daripada populasi di Afghanistan berdepan ancaman kebuluran.

Menurut agensi bantuan, dianggarkan 4.7 juta penduduk negara itu bakal menderitai kekurangan zat makanan akut pada 2022, termasuk 1.1 juta kanak-kanak yang dijangka mengalami kekurangan zat makanan akut yang teruk.

Sebelum ini, PBB dilaporkan berkata bantuan sebanyak AS$5 bilion diperlukan untuk Afghanistan, tahun ini.

Guterres sekali gus mendesak AS agar menerajui usaha membantu Afghanistan 'kerana sebahagian besar sistem kewangan dunia membabitkan mata wang dolar.'

Bulan lalu, sejumlah penderma antarabangsa bersetuju menyumbangkan bantuan sebanyak AS$280 juta kepada Afghanistan, selepas amaran berulang kali dikeluarkan bahawa lebih separuh populasi negara itu berdepan kekurangan makanan akut pada musim sejuk ini.

"Saya berharap baki sumber membabitkan lebih AS$1.2 bilion daripada Tabung Amanah Pembinaan Semula Afghanistan (ARTF), akan tersedia untuk membantu rakyat negara itu menempuhi musim sejuk," kata Guterres.

Washington dilaporkan menyita aset bernilai hampir AS$9.5 bilion milik Bank Pusat Afghanistan.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia turut menggantung aktiviti di Afghanistan, malah menahan bantuan serta rizab baharu AS$340 juta dikeluarkan oleh IMF pada Ogos lalu.

"Suhu beku dan aset beku adalah 'gabungan maut' bagi rakyat Afghanistan," kata Guterres. - AFP

Berita Harian X