Rabu, 12 Januari 2022 | 12:58pm
PBB mengeluarkan Pelan Respons Kemanusiaan Sudan bernilai AS$1.9 bilion pada tahun ini. - Foto Agensi
PBB mengeluarkan Pelan Respons Kemanusiaan Sudan bernilai AS$1.9 bilion pada tahun ini. - Foto Agensi

PBB peruntuk AS$1.9b bantuan kepada 10.9 juta rakyat Sudan

NEW YORK: Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) mengeluarkan Pelan Respons Kemanusiaan Sudan bernilai AS$1.9 bilion pada tahun ini.

Lebih AS$800 juta akan digunakan untuk menyelamatkan nyawa 10.9 juta penduduk yang terancam daripada 14.3 juta yang disasarkan di seluruh Sudan memerlukan bantuan kemanusiaan, kata pejabat itu.

Dianggarkan separuh daripada mereka yang sangat terancam berada di barat Darfur, dengan penduduk lain yang memerlukan tinggal di ibu kota Khartoum dan Kordofan Selatan, menurut Xinhua.

"Sudan mengalami peningkatan keperluan kemanusiaan yang sebahagian besarnya didorong oleh kemelesetan ekonomi yang bermula pada 2018, masalah keselamatan makanan yang teruk, konflik, perpindahan berskala besar, bencana alam seperti banjir, serta pengurangan penyampaian perkhidmatan sosial dan kapasiti untuk bertindak terhadap wabak penyakit, termasuk COVID-19," kata OCHA.

Rancangan itu meliputi banyak sektor bantuan termasuk perkhidmatan kesihatan penting, pencegahan dan rawatan penyakit bawaan air, bawaan vektor serta akses kepada pendidikan, mata pencarian serta air dan sanitasi, kata pejabat itu.

Tahap keadaan teruk yang semakin meningkat dan kedaifan penduduk yang terdedah memerlukan pembiayaan kemanusiaan yang segera, awal dan fleksibel, kata OCHA.

Tahun lalu, pekerja bantuan berkata mereka menyalurkan bantuan kepada lebih 8.1 juta orang di Sudan. - BERNAMA

Berita Harian X