Rabu, 5 Januari 2022 | 10:12am
Gambar fail Duke of York, Putera Andrew. - Foto AFP
Gambar fail Duke of York, Putera Andrew. - Foto AFP

Hakim AS skeptikal Putera Andew ketepi saman dera seksual

NEW YORK: Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) dilihat skeptikal terhadap tindakan Putera Andrew dari Britain untuk mengetepikan saman Virginia Giuffre yang mendakwa Duke of York itu terbabit dalam penderaan seksual.

Ketika sesi sebutan kes di Manhattan, Hakim Mahkamah Daerah AS, Lewis Kaplan, mendengar hujah Putera Andrew bahawa terma yang terkandung dalam penyelesaian 2009, antara pengurus dana AS, mendiang Jeffrey Epstein dan pembayaran sebanyak AS$500,000 kepada Giuffre, seolah-olah mengekang wanita berkenaan daripada memfailkan litigasi terhadap Andrew.

Peruntukan dalam penyelesaian itu menghalang Giuffre daripada menyaman segelintir pihak ketiga pada masa depan, dengan terma yang digunakan ialah 'melepaskan selama-lamanya' pelbagai individu yang 'berupaya dimasukkan sebagai potensi defendan' dalam saman penyelesaian terhadap Epstein.

Penyelesaian saman sivil AS mampu menghalang plaintif daripada melaksanakan tindakan litigasi, termasuk terhadap pihak ketiga.

Andrew menafikan tuduhan Giuffre bahawa beliau memaksa melakukan seks dalam satu kejadian pada dua dekad lalu, di kediaman dekat London, milik rakan sekerja Epstein, Ghislaine Maxwell, dan mendera wanita berkenaan di dua lagi lokasi berbeza milik Epstein.

Pada sesi sebutan kes, peguam Putera Britain, Andrew Brettler, berkata anak kedua Ratu Elizabeth itu dilindungi daripada saman Giuffre, mengikut terma penyelesaian bersama Epstein, yang mengaku tidak bertanggungjawab terhadap kes terbabit.

"Potensi defendan ialah seseorang yang boleh dinamakan sebagai defendan dalam saman itu, tetapi tidak.

"Saya rasa, bukan satu persoalan sama ada Putera Andrew boleh disaman dalam tindakan Florida pada 2009," katanya.

Kaplan berkata, persoalan utama dalam kes Putera Andrew ialah motif Giuffre and Epstein, selain menegaskan bahawa mendiang Epstein tidak dapat menghadiri prosiding bagi menjelaskan terma pembebasan yang dihasratkan.

"Kita bercakap sama ada wujud dua atau lebih interpretasi. Saya faham pandangan anda. Saya juga faham pandangan pihak lain," katanya.

Peguam Giuffre, David Boies, berkata penyelesaian itu tidak mengecualikan Putera Britain kerana wanita berkenaan tidak mendakwa Andrew sebagai individu yang mendalangi pemerdagangan manusia, sebaliknya wanita didagangkan kepada individu terbabit.

Kaplan berkata, keputusan berhubung usul dikemukakan Andrew akan diputuskan dalam tempoh terdekat, tetapi tidak menyatakan sebarang perincian lanjut.

Hakim berkenaan sebelum ini dilaporkan berkata, perbicaraan berkemungkinan mula diadakan antara September dan Disember sekiranya tiada penyelesaian dicapai. - REUTERS

Berita Harian X