Selasa, 14 Disember 2021 | 7:16am
Larry Nassar kini menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah pada akhir 2017 dan awal 2018. - Foto fail AFP
Larry Nassar kini menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah pada akhir 2017 dan awal 2018. - Foto fail AFP

Ahli gimnastik mangsa dera doktor terima AS$380 juta

LOS ANGELES: Mangsa penderaan seksual oleh bekas doktor pasukan gimnastik kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Larry Nassar akan menerima AS$380 juta (RM1.6 bilion) selepas kes itu mencapai penyelesaian dengan Gimnastik AS, Olimpik AS dan Jawatankuasa Paralimpik serta syarikat insurans mereka, kata peguam pada Isnin.

Penyelesaian itu, antara yang terbesar pernah direkodkan bagi mangsa penderaan seksual, menamatkan perjuangan undang-undang selama lima tahun akibat skandal penderaan yang menggegarkan Olimpik AS.

Nassar, 58, sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah pada akhir 2017 dan awal 2018 atas tuduhan melakukan serangan seksual terhadap atlet ketika bekerja sebagai doktor perubatan sukan di Gimnastik Amerika Syarikat (USAG) dan Michigan State University (MSU).

Ratusan wanita, termasuk pemenang pingat emas Olimpik seperti Simone Biles, Aly Raisman dan McKayla Maroney menuduh Nassar mendera mereka secara seksual sepanjang kerjayanya lebih dua dekad.

Penyelesaian berkenaan yang turut membabitkan tuntutan daripada Biles, Raisman dan Maroney, disahkan pada perbicaraan di mahkamah muflis persekutuan di Indianapolis.

Ia bermakna kira-kira AS$880 juta (RM3.7 bilion) penyelesaian kini dicapai, susulan penyelesaian awal sebanyak AS$500 juta (RM2.1 bilion) daripada MSU pada 2018.

"Kami menang atas satu sebab mudah, keberanian dan ketabahan mereka yang terselamat," kata John Manly, yang mewakili lebih 180 wanita yang didera Nassar, dalam satu kenyataan yang mengesahkan perincian perjanjian itu.

"Wanita berani ini mengimbau semula penderaan terhadap mereka secara terbuka, dalam begitu banyak temubual media supaya tiada seorang pun kanak-kanak akan dipaksa untuk berdepan penderaan fizikal, emosi atau seksual dalam mengejar impian mereka.

"Rachael Denhollander, wanita pertama yang mendedahkan dakwaan terhadap Nassar secara umum pada 2016, mengalu-alukan penyelesaian itu.

"Bab ini akhirnya ditutup. Kini, kerja keras untuk reformasi dan pembinaan semula boleh dimulakan.

"Sama ada keadilan datang atau tidak dan perubahan dibuat, ia bergantung kepada apa yang berlaku seterusnya," kata Denhollander melalui Twitternya. - AFP

Berita Harian X