Sabtu, 11 Disember 2021 | 9:54am
Bank Dunia berkata, penderma antarabangsa bersetuju menyerahkan AS$280 juta (RM1.18 bilion) sebagai bantuan kepada Afghanistan. - Foto AFP
Bank Dunia berkata, penderma antarabangsa bersetuju menyerahkan AS$280 juta (RM1.18 bilion) sebagai bantuan kepada Afghanistan. - Foto AFP

Penderma setuju serah AS$280 juta kepada Afghanistan

WASHINGTON: Bank Dunia semalam berkata, penderma antarabangsa bersetuju menyerahkan AS$280 juta (RM1.18 bilion) sebagai bantuan kepada Afghanistan, selepas berulang kali memberi amaran lebih separuh penduduk berdepan kekurangan makanan "akut", pada musim sejuk ini.

Bank Dunia dalam satu kenyataan berkata, dana Tabung Amanah Pembinaan Semula Afghanistan (ARTF) akan digunakan "untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan ketika masa kritikal ini."

Dana itu akan disalurkan kepada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Program Makanan Sedunia (WFP), yang "memiliki kapasiti logistik di Afghanistan dan akan menggunakan dana itu bagi menampung jurang pembiayaan dalam program sedia ada mereka untuk menyampaikan perkhidmatan kesihatan dan pemakanan terus kepada rakyat Afghanistan."

Katanya, UNICEF ​​akan menerima AS$100 juta (RM421.25 juta) untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan penting, dan WFP akan menerima AS$180 juta, (RM758.25 juta).

Pengurusan bank awal bulan ini menawarkan cadangan untuk mengubah hala dana, bertujuan pembinaan semula.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali memberi amaran Afghanistan berada di ambang krisis kemanusiaan terburuk di dunia.  Kira-kira 22 juta atau lebih separuh rakyat Afghanistan akan menghadapi kekurangan makanan "akut" pada musim sejuk, memaksa mereka memilih antara penghijrahan dan kebuluran.

Ia susulan gabungan kesan kemarau akibat pemanasan global dan krisis ekonomi, yang diburukkan lagi oleh keputusan masyarakat antarabangsa membekukan pembiayaan kepada negara bergantung kepada bantuan selepas pengambilalihan Taliban pada Ogos lalu, dengan keputusan itu disifatkan PBB dalam laporan baru-baru ini, sebagai "kejutan fiskal tidak pernah berlaku sebelum ini."

Washington membekukan kira-kira AS$10 bilion (RM42.13 bilion) rizab negara itu, manakala Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa menghentikan akses pembiayaan kepada Afghanistan.

Ramai penduduk di pusat bandar Kabul terpaksa menjual barangan rumah untuk menyara diri dan membeli arang batu untuk memanaskan rumah pada musim sejuk.

Berita Harian X