Khamis, 2 Disember 2021 | 6:38am
Antonio Guterres. - Foto AFP
Antonio Guterres. - Foto AFP

'Omicron: Larangan perjalanan tidak adil, tidak berkesan'

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengecam larangan perjalanan yang menyasarkan negara dan wilayah tertentu berikutan kemunculan varian baharu COVID-19 dengan menyifatkannya sebagai tidak adil dan tidak berkesan.

"Dengan virus yang benar-benar tanpa sempadan, sekatan perjalanan yang mengasingkan mana-mana negara atau wilayah bukan sahaja sangat tidak adil dan bersifat menghukum, malah ia tidak berkesan," kata Guterres pada sidang media yang sebaliknya menggesa negara dunia meningkatkan saringan ke atas pengembara.

Puluhan negara mengenakan sekatan perjalanan dari negara selatan Afrika selepas varian Omicron pertama kali dilaporkan di rantau itu minggu lalu.

Guterres berkata negara-negara yang melaporkan kemunculan strain baharu itu tidak seharusnya dihukum secara kolektif kerana mengenal pasti dan berkongsi maklumat sains dan kesihatan yang penting dengan dunia.

Beliau mengulangi rayuan kepada negara dunia untuk meningkatkan ujian saringan ke atas pengembara, bersama-sama dengan langkah lain yang sesuai dan benar-benar berkesan.

"Ini adalah satu-satunya cara untuk mengurangkan risiko penularan sambil membenarkan perjalanan dan pembabitan ekonomi."

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menentukan risiko Omicron sebagai sangat tinggi dan pada masa sama pengarah WHO untuk Afrika membantah larangan perjalanan dikenakan terhadap pengembara dari benua itu dengan menyifatkan ia sebagai serangan ke atas solidariti global.

Pegawai di Afrika Selatan berkata mereka dihukum kerana mengenal pasti strain yang kini telah dikesan di mana-mana dari Belanda ke Britain, Kanada dan Hong Kong, manakala Presiden Malawi Lazarus Chakwera mendakwa negara-negara Barat sebagai "Afrophobia." - AFP

Berita Harian X