Selasa, 23 November 2021 | 9:45am
 Foto dirakamkan pada 21 November 2021 menunjukkan rumah dan kereta di Abbotsford, British Columbia, Kanada ditenggelami banjir. - Foto AFP
Foto dirakamkan pada 21 November 2021 menunjukkan rumah dan kereta di Abbotsford, British Columbia, Kanada ditenggelami banjir. - Foto AFP

Pengangkutan darat Kanada terjejas banjir pulih

OTTAWA: Jalan raya dan laluan rel utama antara Vancouver dan seluruh Kanada yang terputus akibat banjir dan tanah runtuh kebanyakannya disambung semula pada Isnin, kata pegawai.

Hujan lebat minggu lalu hingga menyebabkan banjir dan tanah runtuh, merosakkan jalan dan jambatan serta memaksa ribuan penduduk berpindah dan sekurang-kurangnya empat maut, manakala seorang hilang.

Dalam pada itu, Air Canada juga meningkatkan kapasiti kargonya ke dalam dan luar dari bandar pantai Pasifik sejak Ahad lalu untuk mengurangkan gangguan rantaian bekalan yang besar.

Air Canada menggunakan semula 28 penerbangan penumpang untuk membawa kargo sebagai tambahan kepada 13 penerbangan kargo bagi memindahkan barang mudah rosak seperti makanan laut serta alat ganti automotif dan barangan industri lain.

"Kapasiti (kargo) tambahan adalah setara dengan berat kira-kira 586 tan," menurut syarikat penerbangan itu dalam kenyataan.

Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mencatu bahan bakar dan menggesa penduduk tidak menyimpan stok makanan ketika wilayah itu bergelut dengan masalah bekalan.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan British Columbia, Rob Fleming, berkata barang dan perkhidmatan penting kini bergerak semula.

Sementara itu, Menteri Keselamatan Awam, Mike Farnworth, mengeluarkan amaran mengenai lebih banyak hujan dan ribut dalam beberapa minggu akan datang.

Dua daripada tiga lebuh raya ke Vancouver dibuka semula untuk perjalanan penting, namun lebuh raya utama Trans-Kanada di timur bandar berhampiran Chilliwack masih ditenggelami banjir.

Canadian Pacific pula dijangka membuka semula laluan rel utamanya antara Vancouver dan Kamloops hari ini bagi menggerakkan kembali rantaian bekalan dan dengan pelabuhan Vancouver untuk menguruskan tunggakan penghantaran kontena.

Menurut Environment Canada pula, sesetengah kawasan dijangka bersalji pada Isnin dan Selasa hingga mencapai 25 hingga 30 sentimeter. - AFP

Berita Harian X