Sabtu, 20 November 2021 | 11:17am
Keadaan banjir di British Columbia, semalam. - FOTO AFP

Bahan api dicatu, perjalanan dihadkan di barat Kanada

MONTREAL: British Columbia mengumumkan sekatan berkaitan perjalanan serta bekalan bahan api, semalam, ketika bergelut dengan pelbagai bencana termasuk banjir akibat hujan lebat.

Wilayah di barat Kanada itu mencatat rekod taburan hujan pada Ahad dan Isnin lalu yang membawa kepada kejadian tanah runtuh dan banjir sehingga merosakkan infrastruktur serta jalan raya, manakala saluran paip minyak Trans Mountain terpaksa ditutup sementara.

"Orang ramai diminta mengehadkan penggunaan bahan api dan perjalanan kenderaan mereka ketika ini.

"Kami mengeluarkan arahan bawah perintah darurat untuk menyokong perkara ini," kata Menteri Keselamatan Awam British Columbia, Mike Farnworth, pada sidang media.

Susulan itu, individu tidak lagi dibenarkan membeli lebih daripada 30 liter bahan api di stesen minyak.

"Kami juga meminta orang ramai agar tidak melalui kawasan yang terjejas teruk - demi keselamatan diri mereka serta bagi memastikan bekalan bahan api yang ada dapat disalurkan kepada perkhidmatan diperlukan pada waktu krisis sekarang.

"Langkah ini akan membolehkan trafik komersial terus bergerak, menstabilkan rantaian bekalan dan memastikan semua orang dapat pulang ke rumah dengan selamat," kata Farnworth.

Setakat ini, pihak berkuasa masih menggerakkan operasi mencari dan menyelamat empat individu dilaporkan hilang di Pemberton di mana mayat seorang wanita telah berjaya ditemui.

Pasukan tentera yang dikerah sejak Rabu lalu pula sedang bertungkus lumus di beberapa kawasan wilayah itu, antara lain membersihkan jalan raya yang terjejas serta membina tambak baharu di bandar Abbotsford yang sebahagiannya telah ditenggelami air dan diramalkan menerima hujan lebat lagi pada minggu depan.

Sepanjang tempoh beberapa bulan lalu, kawasan pantai Pasifik di Kanada dilanda satu demi satu bencana alam, termasuk cuaca panas melampau pada akhir Jun dan kebakaran hutan yang besar. - AFP

Berita Harian X