Khamis, 14 Oktober 2021 | 10:46am
Blinken (kiri) dan Lapid (kanan) ketika mesyuarat bilateral di Washington, semalam. FOTO AFP
Blinken (kiri) dan Lapid (kanan) ketika mesyuarat bilateral di Washington, semalam. FOTO AFP

AS, Israel sedia paksa Iran ke meja rundingan

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Joe Biden membayangkan Amerika Syarikat (AS) mungkin akan memaksa Iran untuk kembali ke meja rundingan bagi membincangkan program nuklearnya jika usaha memujuk negara itu terus gagal.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menyuarakan kekecewaannya selepas rundingan tiga hala dengan diplomat kanan Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekutu kuat AS yang berkongsi kebimbangan dengan tindak tanduk Tehran.

"Kami tetap yakin diplomasi adalah langkah terbaik tetapi ia memerlukan kerjasama dua pihak dan kami tidak melihat Iran bersedia ke arah itu.

"Kami bersedia untuk beralih ke pilihan lain jika Iran tidak mengubah pendirian mereka," katanya pada sidang media bersama Menteri Luar Israel, Yair Lapid, semalam.

Blinken menyediakan tawaran baharu Biden untuk Iran kembali berunding berhubung program nuklear negara itu selepas persetujuan pada tahun 2015 dibatalkan bekas Presiden, Donald Trump.

Susulan itu, Iran kembali meningkatkan aktiviti nuklearnya sebagai tindak balas pelanggaran janji menarik balik sekatan dikenakan terhadap negara itu.

Sementara itu Lapid berkata, semua pihak yang terbabit perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan pendirian AS.

"Israel dan AS percaya akan tiba waktu negara terbabit perlu menggunakan kekerasan untuk melindungi dunia daripada 'kejahatan'.

"Jika rejim 'pengganas' (Iran) ini ingin memiliki senjata nuklear, kita perlu bertindak. Kita perlu memastikan masyarakat dunia menolaknya.

"Israel berhak untuk bertindak dalam apa juga cara. Ini bukan sekadar hak kita, tetapi tanggungjawab bersama," katanya.

Sementara itu wakil Kesatuan Eropah (EU), Enrique Mora bercadang melawat Tehran hari ini dan membangkitkan kepentingan rundingan itu.

Pentadbiran Biden sebelum ini mengadakan enam rundingan tidak langsung dengan Iran dan Mora menjadi 'orang tengah' tetapi ia terhenti selepas Ebrahim Raisi diangkat sebagai Presiden Iran yang baharu.

Perunding AS di Iran, Rob Malley berkata, rundingan adalah jalan penyelesaian terbaik walaupun bersikap realistik dengan perkembangan yang berlaku ketika ini.

"Kami tahu sekurang-kurangnya ada kemungkinan Iran akan memilih laluan berbeza dan kita perlu merancang dengan Israel dan sekutu di rantau itu," katanya.

Sementara itu, Iran mengulangi kesediaannya untuk kembali ke meja rundingan tetapi tidak menyatakan bila akan sedia berunding. - AFP

Berita Harian X