Khamis, 14 Oktober 2021 | 9:49am
- FOTO AFP
- FOTO AFP

Dos penggalak Moderna, Pfizer berkesan dengan vaksin J&J

WASHINGTON: Satu kajian awal dari Amerika Syarikat (AS) mendapati, penerima vaksin COVID-19 Johnson & Johnson (J&J) mungkin sesuai untuk menerima dos penggalak jenis Pfizer atau Moderna.

Kajian dibiayai Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) itu bertujuan melihat kesesuaian 'vaksin campuran' yang menggabungkan vaksin keluaran berbeza untuk menjadi dos penggalak walaupun perkara itu masih dilarang di AS.

Kajian itu dilakukan terhadap 458 golongan dewasa yang divaksin dengan satu daripada tiga jenis vaksin diluluskan AS masing-masing Pfizer, Moderna atau J&J dalam tempoh sekurang-kurangnya 12 minggu.

Kumpulan ini dipecahkan kepada tiga kumpulan baharu untuk menerima salah satu daripada vaksin sedia ada sebagai penggalak.

Setiap kumpulan mengandungi 50 orang dan saintis kemudian menganalisis tahap antibodi penerima selepas 15 hari suntikan dos penggalak itu diberikan.

Bagi mereka yang menerima vaksin awal J&J, tahap antibodi mereka didapati meningkat empat kali lebih tinggi selepas menerima dos penggalak itu manakala penerima dos penggalah Pfizer menunjukkan peningkatan 35 kali ganda dan 76 kali ganda selepas menerima dos penggalak Moderna.

Kajian itu juga mendapati, tahap antibodi mereka yang mendapat vaksin Moderna juga lebih tinggi tanpa mengira jenis dos penggalak diterima berbanding dengan mereka yang awalnya disuntik vaksin Pfizer atau J&J.

Berdasarkan ujian itu juga, ia tidak menunjukkan 'tanda-tanda kebimbangan keselamatan dikenal pasti' selepas suntikan diberikan namun setakat ini, kajian semula belum dilakukan.

Jumlah peserta juga adalah kecil dan tindak balas imun dapat berkembang dari semasa ke semasa iaitu melebihi 15 hari dalam kajian.

Namun, seorang profesor di Kolej Perubatan Baylor, Dr Peter Hotez menerusi ciapan Twitter mengingatkan semua pihak supaya tidak terpengaruh dengan ujian terbabit.

Pada asasnya, kajian NIH itu perlu diteliti jawatankuasa pakar dari Pentadbiran Ubat dan Makanan (FDA) yang dijadual menilai permohonan dos penggalak daripada Moderna hari ini dan J&J esok.

Dos penggalak Pfizer diluluskan di AS khusus untuk populasi tertentu seperti mereka yang berusia 65 tahun ke atas, orang dewasa yang menghodap penyakit berisiko tinggi dan mereka yang kerap terdedah dengan pandemik itu. - AFP

Berita Harian X