Ahad, 19 September 2021 | 5:27pm
Pelancong ke Monumen Washington bergambar berlatarkan statistik mangsa COVID-19 Amerika Syarikat, yang juga sebahagian pameran seni ‘In America: Remember,' bagi memperingati mangsa coronavirus. - Foto AFP
Pelancong ke Monumen Washington bergambar berlatarkan statistik mangsa COVID-19 Amerika Syarikat, yang juga sebahagian pameran seni ‘In America: Remember,' bagi memperingati mangsa coronavirus. - Foto AFP

Kes global COVID-19 cecah 229 juta, lebih 4.7 juta maut

WASHINGTON: Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 global meningkat mencecah 229 juta jangkitan, termasuk mengakibatkan lebih 4.7 juta kematian.

Ini berikutan hampir 500,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan 228,946,779 kes jangkitan termasuk 4,700,214 kematian setakat ini.

Data terbaru Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) masih kekal negara paling terjejas dengan 42,866,805 jangkitan termasuk 691,562 kematian.

Ia disusuli India dengan 33,448,163 jangkitan dan 444,869 kematian serta Brazil dengan 21,230,325 jangkitan termasuk 590,547 kematian.

Di Asia Tenggara, Indonesia kekal mendominasi angka tertinggi kes coronavirus dengan 4,188,529 jangkitan dan 140,323 kematian.

Ini diikuti Filipina yang mencatatkan 2,347,550 jangkitan termasuk 36,583 kematian, dengan Malaysia tidak jauh di belakang (2,082,876 jangkitan termasuk 23,067 kematian).

Pada peringkat global, Malaysia kini menduduki tangga ke 21 dalam kalangan 223 negara paling terjejas akibat pandemik COVID-19.

Trend global kini menunjukkan kadar kematian akibat COVID-19 sudah berkurangan susulan semakin ramai penduduk dunia sudah menerima dua dos suntikan, namun kadar jangkitan terus meningkat terutama kerana varian baharu Delta.

Setakat ini, lebih 5.88 bilion dos vaksin COVID-19 sudah didaftarkan atau disuntik di seluruh dunia sehingga pagi kelmarin.

Menurut data Johns Hopkins University, China mendahului dengan lebih 2.17 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan, diikuti India dengan 804 juta dos dan AS lebih 383 juta dos vaksin.

Brazil mencatat lebih 220 juta dos manakala Jepun dan Jerman masing-masing merekodkan 149 juta dan 105 juta dos vaksin didaftarkan atau disuntik sementara Turki dan United Kingdom masing-masing melebihi 90 juta dos.

Di Asia Tenggara, Indonesia mendahului dengan jumlah dos yang didaftarkan sebanyak 120 juta, jauh meninggalkan negara lain seperti Thailand, Filipina dan Malaysia yang melebihi 40 juta dos. - AGENSI

Berita Harian X