Rabu, 15 September 2021 | 11:41am
Arizona negeri pertama di AS failkan saman terhadap mandat vaksin Presiden Joe Biden. - Foto AFP
Arizona negeri pertama di AS failkan saman terhadap mandat vaksin Presiden Joe Biden. - Foto AFP

Arizona negeri pertama failkan saman mandat vaksin

WASHINGTON: Arizona semalam menjadi negara pertama Amerika Syarikat (AS) yang menfailkan saman terhadap mandat vaksinasi COVID-19 Presiden Joe Biden bagi pekerja persekutuan dan perniagaan dengan lebih dari 100 pekerja.

Peguam Negeri Arizona, Mark Brnovich, seorang Republikan, mengumumkan tuntutan saman itu terhadap apa yang disifatkannya sebagai tindakan tidak berperlembagaan oleh presiden Demokrat.

"Kerajaan persekutuan tidak boleh memaksa orang untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

"Pentadbiran Biden sekali lagi melanggar undang-undang untuk mendorong agenda radikal mereka," kata Brnovich dalam satu kenyataan.

Dalam tuntutan itu, peguam negeri berpendapat bahawa mandat vaksin melanggar Klausa Perlindungan Sama-rata Pindaan ke-14 Perlembagaan dengan memihak migran yang memasuki negara secara haram berbanding warga AS.

"Migran yang melintasi sempadan selatan secara haram tidak dikenakan syarat vaksinasi walaupun dibebaskan terus ke Amerika Syarikat," kata Brnovich.

"Ini mencerminkan pilih kasih yang tidak ketara dan tidak berperlembagaan, yang memihak kepada pendatang tanpa izin," katanya.

Peguam Negeri Arizona, yang bersempadan dengan Mexico, memohon Mahkamah Daerah AS untuk mengisytiharkan mandat vaksinasi tidak berperlembagaan.

Beberapa gabenor Republikan berikrar untuk menentang mandat vaksinasi.

Ditanya minggu lalu mengenai cabaran undang-undang terhadap peraturan vaksinasi baharu yang ketat, Biden berkata: "Cubalah."

Mandat vaksinasi Biden dilaksanakan ketika varian Delta menyebabkan kes melonjak di seluruh negara.

Mengumumkan langkah itu, ia ditujukan kepada 80 juta rakyat Amerika yang belum mendapatkan vaksin walaupun layak, yang menyebabkan 650,000 orang mati di negara itu.

"Kami bersabar, tetapi kesabaran kami semakin tipis. Penolakan anda merugikan kita semua. Oleh itu, tolong, lakukan perkara yang betul," katanya.

Rancangan Biden mewajibkan vaksinasi untuk semua pekerja dan kontraktor persekutuan dan perniagaan dengan lebih daripada 100 pekerja.

Syarikat boleh dikenakan denda sekiranya tidak mematuhinya. - AFP

Berita Harian X