Selasa, 7 September 2021 | 7:27am
Legenda bola sepak Brazil, Pele atau nama sebenarnya, Edson Arantes do Nascimento. - Foto AFP
Legenda bola sepak Brazil, Pele atau nama sebenarnya, Edson Arantes do Nascimento. - Foto AFP

Legenda bola sepak, Pele, selamat jalani pembedahan

SAO PAOLO: Legenda bola sepak Brazil, Pele, 80, selamat menjalani pembedahan barah usus dan kini sedang berehat di Hospital Albert Einstein di Sao Paolo.

Hospital itu, dalam satu kenyataan, berkata barah berkenaan ditemui ketika pemeriksaan kesihatan rutin dan dihantar untuk diuji, ketika Pele menerima rawatan di hospital itu sejak 31 Ogos lalu.

Pele, dalam catatan di Instagram semalam, berkata: "Saya bersyukur kepada Tuhan kerana bertambah baik".

Pele dijadualkan keluar dari unit rawatan rapi (ICU) hari ini, menurut kenyataan dikeluarkan pihak hospital.

Pele, yang nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento, mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan sering dimasukkan ke hospital, terkini pada April 2019 di Paris kerana jangkitan saluran kencing yang serius.

Satu-satunya pemain bola sepak dalam sejarah yang tiga kali memenangi Piala Dunia (1958, 1962 dan 1970), Pele dianggap pemain terhebat sepanjang masa.

Beliau memasuki arena global pada usia 17 tahun, dengan menjaringkan gol yang menarik termasuk dua gol dalam pusingan akhir menentang tuan rumah, Sweden, di mana Brazil menang Piala Dunia buat pertama kali pada 1958.

Empat tahun kemudian, Pele mempamerkan aksi hebat dengan menjaringkan satu gol dalam kemenangan 2-0 menentang Mexico dalam perlawanan pembukaan Brazil.

Bagaimanapun, kecederaan ketika perlawanan menentang Republik Czech memaksanya berehat, namun pasukannya berjaya mempertahankan takhta Piala Dunia.

Diberi gelatan 'O Rei' atau Raja, Pele menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan 4-1 menentang Itali di Mexico pada 1970.

Selepas bersara daripada pertandingan bola sepak antarabangsa, beliau bermain untuk kelab New York Cosmos, sebelum berundur dengan lebih 1,000 jaringan gol. - AFP

Berita Harian X