Khamis, 22 Julai 2021 | 7:28am
 Jururawat menyediakan suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Cecilia Rivadeneira Foundation, Quito, Ecuador. - Foto AFP.
Jururawat menyediakan suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Cecilia Rivadeneira Foundation, Quito, Ecuador. - Foto AFP.

Kes COVID-19 dunia lebih 191.7 juta, 4.12 juta kematian

NEW YORK: Dunia ketika ini merekodkan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 melebihi 191.7 juta dengan lebih 400,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut data terbaharu Johns Hopkins University, Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 34.2 juta kes, diikuti India dengan lebih 31.2 juta kes dan Brazil dengan lebih 19.4 juta kes.

Sebanyak empat negara melebihi angka lima juta kes iaitu Perancis, Russia, Turki dan United Kingdom, manakala Argentina, Colombia dan Itali pula mencatat kes melebihi 4 juta.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes COVID-19 dengan melepasi 2.98 juta kes, diikuti Filipina dengan lebih 1.5 juta. Malaysia pula mencatat lebih 950,000 kes.

Thailand dan Singapura masing-masing merekodkan lebih 430,000 dan lebih 63,0000 kes.

Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia kini melepasi 4.12 juta dengan AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 609,000 kes.

Ia diikuti Brazil dengan lebih 544,000 kes, India lebih 418,000 kes, Mexico lebih 236,000 kes.

Sementara United Kingdom, Russia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 91,000 kes adalah Jerman, sementara Sepanyol melebihi 81,000 kes.

Di Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 77,000 kes korban, Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 26,000 diikuti Malaysia lebih 7,000 kes dan Thailand dengan lebih 3,000 angka korban.

Sementara itu lebih 3.7 bilion dos vaksin COVID-19 didaftar atau disuntik di seluruh dunia setakat ini.

Data Johns Hopkins University, menunjukkan China mendahului dengan lebih 1.47 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan, diikuti India dengan 415 juta dos vaksin dan AS sebanyak 338 juta dos.

Di Asia Tenggara, Indonesia mendahului dengan jumlah dos yang didaftarkan sebanyak 59 juta, manakala Filipina dan Malaysia kini daftar lebih 15 juta dos, Thailand lebih 14 juta dos, dan Singapura dengan lebih enam juta dos. - AGENSI

Berita Harian X