Isnin, 12 Julai 2021 | 9:54am

COVID-19: Kes global lebih 186.7 juta, 4.029 juta kematian

AMERIKA SYARIKAT: Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia melebihi 186.7 juta dengan lebih 400,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 33.85 juta kes, diikuti India dengan lebih 30.8 juta kes dan Brazil dengan lebih 19 juta kes.

Sementara itu beberapa negara merekodkan kes melepasi angka lima juta termasuk Perancis, Turki, Russia dan United Kingdom (UK), manakala Argentina, Colombia dan Itali pula mencatat kes melebihi empat juta.

Di Asia Tenggara, Indonesia mendahului senarai kes tertinggi apabila melepasi 2.5 juta kes, diikuti Filipina lebih 1.47 juta.

Malaysia pula merekodkan lebih 836,000 kes. Thailand dan Singapura masing-masing merekodkan lebih 336,000 dan lebih 62,000 kes.

Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia kini melebihi 4.029 juta dengan AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 607,000 kes.

Ia diikuti Brazil dengan lebih 531,000 kes, India lebih 407,000 kes, Mexico lebih 234,000 kes.

UK, Russia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Indonesia mendominasi angka kematian di Asia Tenggara apabila kes kematian melebihi 65,000.

Sementara itu lebih 3.43 bilion dos vaksin COVID-19 didaftar atau disuntik di seluruh dunia setakat ini.

Menerusi data Johns Hopkins University, China mendahului dengan lebih 1.37 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan, diikuti India dengan 379 juta dos dan AS (332.9 juta dos). - AGENSI

Berita Harian X