Rabu, 16 Jun 2021 | 7:16am
Wanita India sedang mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di sebuah pusat pemberian vaksin di New Delhi, semalam. - Foto EPA
Wanita India sedang mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di sebuah pusat pemberian vaksin di New Delhi, semalam. - Foto EPA

2.39 bilion vaksin COVID-19 disuntik seluruh dunia

WASHINGTON: Sebanyak 2.39 bilion dos vaksin COVID-19 sudah disuntik di seluruh dunia sehingga semalam, menurut data John Hopkins Universiti.

Ini adalah pertambahan puluhan juta dos vaksin COVID-19 berbanding hari sebelumnya.

Data yang sama menunjukkan, China kini mendahului program vaksinasi penduduknya dengan memberi suntikan lebih 900 juta dos vaksin, diikuti Amerika Syarikat (AS) sebanyak 311 juta dos, manakala India dengan 259 juta dos vaksin.

Negara lain yang mencatat jumlah melebihi 70 juta dos vaksin adalah United Kingdom dan Brazil, manakala Jerman dengan 61 juta dos, Perancis dan Itali masing-masing 44 juta dan 43 juta dos.

Di rantau Asia Tenggara, Indonesia mendahului program vaksinasi apabila sebanyak 32 juta dos sudah disuntik kepada penduduknya, diikuti Filipina dan Thailand yang ketika ini sudah memberi suntikan lebih enam juta dos.

Ini diikuti dengan Malaysia dengan 4.6 juta dos vaksin manakala Singapura 4.3 juta dos.

Sementara itu, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia ketika ini lebih 176.4 juta.

Jumlah jangkitan menunjukkan pertambahan kes global dengan lebih 400,000 kes jangkitan baharu dikesan dalam tempoh 24 jam.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan AS kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 33.48 juta kes., diikuti India dengan 29.57 juta kes dan Brazil dengan lebih 17.45 juta kes.

Angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini melebihi 3.8 juta kes, dengan AS merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 600,000 kes, diikuti Brazil dengan lebih 488,000 kes, India lebih 377,000 kes, Mexico lebih 230,000 kes.

Sementara United Kingdom, Itali, Russia dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian. - AGENSI

Berita Harian X