Selasa, 15 Jun 2021 | 1:55pm

COVID-19: Saintis China tolak teori dakwa makmal bocor

WASHINGTON: Seorang saintis China yang menjadi tumpuan dalam teori mendakwa pandemik COVID-19 berasal daripada kebocoran makmal khas di Wuhan, menafikan institusi beliau itu adalah punca bencana kesihatan global berkenaan.

Dr Shi Zhengli menegaskan perkara itu kepada The New York Times dalam maklum balas yang jarang diberikan kepada media.

"Bagaimana saya mahu memberikan bukti untuk sesuatu yang memang tidak ada bukti?

"Saya tidak tahu bagaimana dunia boleh berterusan melemparkan tuduhan terhadap saintis yang tidak bersalah," katanya.

Bulan lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengarahkan agensi perisikan untuk menyiasat asal usul pandemik itu, termasuk teori dakwaan kebocoran makmal terbabit.

Teori itu kian mendapat perhatian sejak kebelakangan ini susulan laporan mendakwa tiga penyelidik dari Institut Virologi Wuhan, jatuh sakit pada 2019 selepas mengunjungi sebuah gua kelawar di Yunnan.

Shi merupakan pakar dalam coronavirus kelawar, dan sebilangan saintis mendakwa beliau mengetuai suatu eksperimen dipanggil kajian 'gain-of-function' di mana sejenis virus diperkuatkan bagi mengkaji kesannya terhadap perumah.

Menurut laporan The New York Times, pada 2017, Shi dan rakan sekerja di makmal Wuhan dikata menerbitkan laporan mengenai satu eksperimen.

Dalam eksperimen itu, mereka didakwa mencipta coronavirus kelawar hibrid yang baharu dengan mencampur dan memadankan bahagian daripada beberapa virus sedia ada - termasuk sekurang-kurang satu yang hampir boleh berpindah kepada manusia - bagi mengkaji kemampuannya menjangkiti serta meniru sel manusia.

Dalam satu e-mel kepada akhbar itu, Shi mendakwa, eksperimen berkenaan adalah berlainan daripada kajian 'gain-of-function' kerana mereka tidak menjadikan sesuatu virus itu lebih berbahaya.

Sebaliknya, beliau mendakwa, mereka berusaha untuk memahami bagaimana virus terbabit boleh berpindah ke spesies lain. - AFP

Berita Harian X