X
Isnin, 24 Mei 2021 | 11:11am

Staf makmal Wuhan dirawat di hospital sebelum COVID-19 didedahkan

WASHINGTON: Tiga penyelidik Wuhan Institute of Virology (WIV) China mendapatkan rawatan di hospital pada November 2019, beberapa bulan sebelum China mendedahkan wabak COVID-19.

The Wall Street Journal memetik laporan perisikan AS yang sebelum ini tidak pernah didedahkan.

Menurut akhbar itu, laporan yang memperincikan mengenai jumlah penyelidik terjejas, waktu mereka sakit dan rawatan di hospital, memerlukan siasatan lanjut sama ada virus itu terlepas dari makmal.

Laporan itu didedahkan menjelang pertemuan badan pembuat keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang dijangka membincangkan fasa siasatan lanjut mengenai asal usul COVID-19.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara tidak memberikan komen mengenai laporan itu tetapi berkata bahawa pentadbiran Presiden Joe Biden sentiasa mengemukakan persoalan serius mengenai tempoh terawal wabak termasuk asal usulnya di China.

Menurut sumber, Washington mahu memastikan kerjasama dan ketelusan yang lebih daripada negara terbabit.

Minggu lalu Kementerian Luar China mengambil maklum bahawa pasukan yang dipimpin WHO merumuskan bahawa kebocoran makmal bukan satu kemungkinan punca wabak, selepas lawatan pada Februari lalu ke institut berkenaan.

"AS terus menggembar-gemburkan teori kebocoran makmal... apakah ia benar-benar mahu mencari sumber atau cuba untuk mengalihkan perhatian?," kata kementerian itu.

Pentadbiran bekas Presiden Donald Trump berkata, ia mengesyaki virus mungkin terlepas daripada makmal China, yang dinafikan oleh Beijing.

Lembaran fakta Jabatan Negara yang dikeluarkan pada akhir pentadbiran Trump menyatakan bahawa kerajaan Amerika Syarikat (AS) mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa beberapa penyelidik jatuh sakit pada musim luruh 2019, sebelum kes pertama dikenal pasti, dengan gejala seperti COVID-19.

Ia tidak menyebut berapa orang penyelidik yang terbabit. China enggan memberikan data mengenai kes awal kepada pasukan pimpinan WHO yang menyiasat asal usul wabak itu, yang berpotensi menyulitkan usaha untuk memahami bagaimana wabak itu bermula.

Berita Harian X