Isnin, 10 Mei 2021 | 9:51am
Petugas kesihatan sedang menyiapkan katil untuk pesakit COVID-19 di pusat penjagaan di Amritsar, semalam. - Foto AFP
Petugas kesihatan sedang menyiapkan katil untuk pesakit COVID-19 di pusat penjagaan di Amritsar, semalam. - Foto AFP

COVID-19: Kes global lebih 157.84 juta, 3.28 juta maut

WASHINGTON: Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia sudah melepasi 157.12 juta, berikutan lebih 700,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan catatan lebih 32.69 juta kes, diikuti India 22.29 juta kes dan Brazil lebih 15.14 juta kes.

Negara lain yang melebihi angka lima juta kes adalah Perancis dan Turki, sementara Russia, United Kingdom dan Itali melebihi empat juta kes.

Sepanyol, Jerman dan Argentina pula melebihi tiga juta kes manakala Colombia, Poland, Iran dan Mexico mencatat lebih dua juta kes.

Peru, Indonesia, Afrika Selatan, Belanda, Kanada, Chile dan Romania antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif.

Negara dalam lingkungan 300,000 hingga 500,000 kes termasuk Malaysia, Slovakia dan Panama.

Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini melepasi 3.28 juta kes, dengan AS masih kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 581,000 kes.

Ini diikuti Brazil dengan lebih 421,000 kes, India lebih 242,000 kes, Mexico lebih 218,000 kes, manakala United Kingdom, Itali, Russia dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 50,000 kes termasuk Jerman, Sepanyol, Colombia, Iran, Poland, Argentina, Peru dan Afrika Selatan dan Ukraine, Indonesia serta Turki mencatatkan antara 30,000 hingga 50,000 kes kematian.

Selain itu, Romania, Belgium dan Kanada pula mencatatkan lebih 20,000 angka korban. - AGENSI

Berita Harian X