Khamis, 6 Mei 2021 | 12:52pm
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro. - Foto AFP
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro. - Foto AFP

Bolsonaro kaitkan pandemik COVID-19 dengan senjata biologi

BRASILIA: Presiden Jair Bolsonaro dalam kenyataan terbaru yang mungkin mengeruhkan hubungan Brazil dengan China, berkata virus COVID-19 mungkin dihasilkan di makmal dengan tujuan untuk melancarkan perang biologi.

"Ini virus baharu. Tiada sesiapa tahu sama ada ia dihasilkan di makmal atau kerana manusia memakan haiwan yang tidak seharusnya mereka makan.

"Tetapi tentera tahu semua mengenai perang kimia, biologi dan radiologi. Boleh jadi ini perang baharu? Saya tertanya-tanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mana yang paling banyak berkembang?"katanya.

Beliau tidak menyebut nama China secara khusus, tetapi negara di mana pandemik itu bermula adalah satu-satunya ekonomi G20 yang mencatat perkembangan 2.3 peratus tahun lalu.

Bolsonaro mempunyai sejarah dalam mengeluarkan komen yang menyebabkan kemarahan China dan kadang-kadang memburukkan hubungan dengan rakan dagang terbesar Brazil itu.

Pada Mac lalu, presiden menggantikan bekas Menteri Luar, Ernesto Araujo, yang mengecam Maois China dan rancangannya untuk menguasai dunia, dengan diplomat Carlos Franca.

Langkah itu dilihat bertujuan untuk memperbaiki hubungan kedua-dua negara.

Teori bahawa COVID-19 muncul di makmal virologi di bandar Wuhan adalah subjek sensitif bagi China tetapi ia adalah kegemaran bagi penyokong kuat Bolsonaro dan model politiknya, iaitu bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

China menafikan teori itu dan Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang pada Mac lalu merumuskan bahawa adalah sangat tidak mungkin virus itu berasal daripada makmal.

Namun, pakar WHO berkata, mereka menghadapi kesukaran untuk mengakses data ketika mengunjungi Wuhan.

Bolsonaro berdepan kritikan dan bahkan siasatan Senat di atas tanggapannya terhadap COVID-19, yang meragut lebih 400,000 nyawa di Brazil.

Beliau mempergiatkan serangannya semalam di atas tindakan perintah berkurung oleh pihak berkuasa tempatan untuk mencegah wabak itu, dengan mengancam akan mengeluarkan dekri yang melindungi hak orang ramai untuk bebas bergerak.

Bolsonaro menentang seruan pakar untuk mengambil langkah penutupan, dengan alasan kerosakan ekonomi adalah lebih buruk daripada virus itu sendiri.

Namun, Mahkamah Agung Brazil memberikan hak kepada negeri dan majlis perbandaran untuk menetapkan langkah berkenaan.

"Saya berdoa supaya tidak perlu mengeluarkan dekri ini tetapi jika saya melakukannya, ia akan dilaksanakan dengan segala kuasa yang dimiliki oleh saya dan menteri saya.

"Dan tidak ada orang yang akan berani mencabarnya," katanya. - AFP

Berita Harian X