Jumaat, 19 Februari 2021 | 12:28pm
Penduduk bermain luncur ais di atas tasik beku di taman La Fontaine dekat Montreal, Quebec. Hampir sejuta penduduk Kanada sudah mendapat dos pertama suntikan vaksin COVID-10. Foto AFP
Penduduk bermain luncur ais di atas tasik beku di taman La Fontaine dekat Montreal, Quebec. Hampir sejuta penduduk Kanada sudah mendapat dos pertama suntikan vaksin COVID-10. Foto AFP

Satu dos vaksin COVID-19 mencukupi - Pakar Kanada

OTTAWA: Terdapat bukti yang menunjukkan satu suntikan vaksin COVID-19 memadai untuk memberi perlindungan, berbanding dua dos seperti disyorkan pengeluar.

Timbalan Ketua Pegawai Kesihatan Awam Kanada, Dr Howard Njoo, berkata bukti itu berdasarkan data awal kajian keberkesanan vaksin.

"Petunjuknya terdapat tahap yang baik untuk memberi perlindungan dengan hanya satu suntikan," katanya.

Kerajaan Kanada menyasarkan untuk memberi suntikan vaksin dua dos, hujung bulan depan.

Lebih 990,000 rakyat Kanada sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan dan satu pertiga lagi selesai menerima dua dos.

Jawatankuasa Imunisasi Quebec semalam mengesyorkan sesiapa tidak akan mendapat suntikan kedua, sehingga selesai suntikan satu dos kepada semua enam kumpulan berisiko tinggi, termasuk individu berumur 70 tahun ke atas, pekerja kesihatan dan penghuni rumah penjagaan serta warga pencen.

Vaksin COVID-19 Johnson & Johnson hanya memerlukan satu dos. Afrika Selatan mula menyuntik penduduknya dengan vaksin itu. - Foto AFP
Vaksin COVID-19 Johnson & Johnson hanya memerlukan satu dos. Afrika Selatan mula menyuntik penduduknya dengan vaksin itu. - Foto AFP

Pakar epidemiologi dari Pusat Kawalan Penyakit British Columbia, Dr Danuta Skowronski, berkata data menunjukkan selepas dua minggu suntikan dos pertama, perlindungan terhadap COVID-19 seakan-akan sama baik dengan suntikan dua dos.

Beliau berkata, jika menunggu dua minggu untuk mula mengira tempoh jangkitan, terdapat pengurangan 92 peratus dalam kalangan mereka yang menerima satu dos vaksin, berbanding dengan penerima plasebo.

Dr Skowronski dan seorang lagi pakar dari Institut Nasional de'sante publique du Quebec, Dr Gaston De Serres memasukkan kes berkenaan dalam Jurnal Perubatan New England pada minggu ini.

Moderna juga melaporkan bahawa selepas dua minggu menerima dos pertama, penerima vaksin berkenaan kurang cenderung menghidapi sindrom COVID-19 sebanyak 92 peratus.

Pfizer-BioNTech yang vaksinnya menggunakan teknologi genetik serupa dengan Moderna pula mengatakan, vaksin dibangunkan mereka hanya berkesan 52 peratus untuk satu dos, tetapi menunjukkan keberkesanan sehingga 94.5 peratus, jika menerima dua dos suntikan. - AGENSI

Berita Harian X