Ahad, 3 Januari 2021 | 7:53am
Orang ramai beratur di luar pusat ujian saringan COVID-19 di Brooklyn, New York, semalam. Amerika Syarikat masih kekal negara paling teruk terjejas dengan merekodkan lebih 20.31 juta kes. - Foto AFP
Orang ramai beratur di luar pusat ujian saringan COVID-19 di Brooklyn, New York, semalam. Amerika Syarikat masih kekal negara paling teruk terjejas dengan merekodkan lebih 20.31 juta kes. - Foto AFP

Kes global COVID-19 catat 83.3 juta, 1.83 juta kematian

WASHINGTON: Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 global mencatatkan 83.83 juta kes hari ini, berikutan lebih ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut data terbaru Johns Hopkins University, Amerika Syarikat (AS) masih kekal negara paling teruk terjejas dengan merekodkan lebih 20.31 juta kes, diikuti India 10.30 juta kes dan Brazil 7.7 juta kes.

Jumlah kumulatif kes positif di Russia pula melepasi 3.17 juta kes manakala negara yang melepasi angka 2 juta kes adalah Perancis, United Kingdom, Turki dan Itali.

Sepanyol, Jerman, Colombia, Argentina, Mexico, Poland, Iran, Ukraine, Afrika Selatan dan Peru pula antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif COVID-19.

Belanda, Indonesia, Belgium, Romania, Chile, Iraq, Kanada dan Bangladesh pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.

Negara dalam lingkungan 300,000 hingga 500,000 kes termasuk Pakistan, Filipina, Switzerland, Maghribi, Sweden, Israel, Portugal, Austria, Arab Saudi, Serbia dan Hungary.

Sebanyak 38 negara lain termasuk Malaysia merekodkan angka positif antara 100,000 dan 300,000 kes.

Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini melepasi 1.83 juta kes.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 349,000 kes, diikuti Brazil, India dan Mexico masing-masing merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 50,000 kes termasuk Itali, United Kingdom, Perancis, Russia, Iran dan Sepanyol manakala negara yang merekodkan antara 30,000 hingga 50,000 kes kematian adalah Colombia, Argentina, Peru dan Jerman.

Afrika Selatan, Poland, Indonesia dan Turki pula mencatatkan lebih 20,000 angka korban. - AGENSI

Berita Harian X