Sabtu, 9 Mei 2020 | 9:02am

COVID-19: Kematian kanak-kanak hidap penyakit radang, Kawasaki

NEW YORK: Gabenor New York, Andrew Cuomo, semalam mengesahkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di negeri itu, berikutan menghidap sejenis penyakit radang yang jarang dijumpai, dan ia dipercayai berpunca daripada pandemik COVID-19.

"Terdapat 73 laporan kes di New York (negeri) berkaitan kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal dengan simptom sama sebagaimana penyakit Kawasaki dan sindrom kejutan toksik.

"Pada Khamis, seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia berikutan komplikasi ini dan ia turut dipercayai mempunyai kaitan dengan COVID-19," katanya yang menulis melalui Twitter.

Beliau berkata, jabatan kesihatan New York sudah melakukan penyiasatan dan menghubungi ibu bapa kanak-kanak itu supaya mendapatkan rawatan segera, sekiranya terdapat gejala seperti demam yang berpanjangan sehingga melebihi lima hari.

Antara gejala lain termasuk cirit-birit, muntah, kesukaran bernafas, muka menjadi pucat, sakit dada dan lesu.

Penyakit Kawasaki ialah masalah kesihatan misteri, terutama dalam kalangan kanak-kanak sehingga usia lima tahun, yang menyebabkan radang dinding arteri dan pesakit mengalami demam, kulit mengelupas serta sakit sendi.

Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain mengeluarkan amaran pertama, bulan lalu, mengenai peningkatan kecil bilangan kanak-kanak dijangkiti COVID-19 yang 'mempunyai ciri bertindih dengan sindrom kejutan toksik dan penyakit Kawasaki tidak tipikal'.

Kumpulan saintis percaya penyakit ini mempunyai kaitan dengan COVID-19.

Untuk rekod, Perancis, Itali dan Sepanyol turut melaporkan beberapa kes berkaitan penyakit seumpamanya. – AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X