Rabu, 11 Disember 2019 | 11:46am
Olivia Newton-John. - Foto fail Reuters
Olivia Newton-John. - Foto fail Reuters

Jaket 'Grease' dikembalikan kepada Olivia Newton-John

CALIFORNIA: Pembeli jaket kulit terkenal yang dipakai Olivia Newton-John dalam filem ‘Grease’ dilaporkan memulangkannya semula kepada penyanyi itu.

Pada masa sama, beliau turut menyumbangkan wang tunai AS$243,000 (RM1.01 juta) kepada pusat rawatan barah milik penyanyi itu di Melbourne, Australia.

Sumbangan itu dikatakan menyamai nilai yang digunakan ketika membeli jaket berkenaan.

“Ia tidak sepatutnya berada di dalam almari hartawan, yang tinggal di sebuah negara yang bercakap mengenai hak.

“Kemampuan luar biasa bagi melawan barah, yang kembali menyerang menerusi terapi terbaharu adalah 1,000 kali ganda hebat, berbanding seseorang yang secara tiba-tiba datang dan membeli ikon paling popular dan dihargai, dan kemudian mengembalikannya kepada anda,” kata pembeli enggan dikenali itu kepada Newton-John, menurut video yang disiarkan oleh pusat lelongan Julien’s Auction.

Pembeli dan aktres berusia 71 tahun itu bertemu di California pada hujung minggu lalu.

Jaket dan seluar hitam ketat yang dipakai Newton-John untuk lagu duet bersama aktor John Travolta, bertajuk ‘You’re the One That I Want’ dalam filem 1978 itu, dijual kepada pembeli berasingan pada lelongan di Beverly Hills bulan lalu, dan ia memperoleh harga lebih dua kali ganda daripada harga jangkaan.

Jaket dipakai Newton-John untuk lagu duet bersama aktor John Travolta, ‘You’re the One That I Want’ dalam filem 1978. - AFP
Jaket dipakai Newton-John untuk lagu duet bersama aktor John Travolta, ‘You’re the One That I Want’ dalam filem 1978. - AFP

Ia adalah antara 500 barangan daripada koleksi Newton-John yang dijual untuk manfaat Pusat Barah dan Kecergasan Olivia Newton-John di Melbourne, yang diasaskan bersama penyanyi itu selepas disahkan mengalami barah payudara pada 1992.

Pembeli jaket berkenaan menyifatkan beliau sebagai peminat nombor satu Newton-John dan berharap penyanyi itu segera sembuh.

Pada awal tahun ini, penghibur kelahiran Britain, tetapi dibesarkan di Australia mendedahkan bahawa beliau kini berdepan dengan barah payudara buat kali ketiga. — Reuters

Berita Harian X