Khamis, 31 Januari 2019 | 12:37am
Gelombang kesejukan melampau melanda wilayah Midwest Amerika Syarikat. - Foto EPA
Gelombang kesejukan melampau melanda wilayah Midwest Amerika Syarikat. - Foto EPA

Wilayah Midwest lebih sejuk daripada Antartika

CHICAGO: Gelombang kesejukan melampau yang mengancam nyawa melanda wilayah Midwest Amerika Syarikat semalam, apabila cuaca lebih dingin daripada Antartika menyebabkan penerbangan ditangguhkan, gangguan kepada perjalanan dan urusan seharian puluhan juta penduduk terhenti.

Penghantaran surat digantung, sekolah dan perniagaan ditutup, dan penduduk digalakkan berada di dalam rumah di hampir 12 negeri yang menyaksikan suhu tengah malam menjunam di bawah paras negatif dua digit, kesejukan paling buruk melanda wilayah berkenaan.

Chicago, dengan suhu pagi mencecah -30 darjah Celsius, yang dirasakan seolah-olah mencapai -46 darjah Celsius, dengan angin sejuk, lebih dingin berbanding ibu negeri Alaska malah lebih sejuk berbanding beberapa bahagian di Antartika.

Lebih 1,500 penerbangan dibatalkan di dua lapangan terbang utama negeri itu manakala pengendali kereta api Amtrak menggantung perkhidmatan dari hab di Chicago.

Perkhidmatan Pos AS, dikenali dengan komitmen menghantar surat tanpa mengira cuaca, menggantung penghantaran di beberapa bahagian di Indiana, Michigan, Illinois, Ohio, Dakota dan Nebraska.

Punca kedinginan melampau itu adalah putaran udara artik yang berpecah daripada vorteks kutub yang selalunya mengelilingi Kutub Utara.

“Udara artik akan kekal di tengah dan timur AS untuk beberapa hari lagi.

“Angin sejuk 30 hingga 60 darjah di bawah sifar menjadi biasa di seluruh utara Plains, Great Lakes dan bahagian atas Midwest,” kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan. — AFP

Berita Harian X