Rabu, 30 Januari 2019 | 2:01pm
Kabus mula menutupi langit menandakan kedatangan fenomena vorteks kutub yang melanda Chicago, Illinois, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS
Kabus mula menutupi langit menandakan kedatangan fenomena vorteks kutub yang melanda Chicago, Illinois, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

Vorteks kutub landa AS hari ini

CHICAGO : Jutaan penduduk Amerika Syarikat (AS) bakal menempuh vorteks kutub yang berpotensi mengancam kesihatan masing-masing apabila ia melanda hari ini.

Susulan ramalan, semua syarikat telah mengarahkan petugas mereka untuk berada di rumah manakala sekolah ditutup dan ratusan penerbangan dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Perkhidmatan Pos AS yang terkenal dengan komitmen mereka menyampaikan surat tanpa mengira keadaan cuaca juga dilaporkan menghentikan sementara penghantaran di Iowa akibat suhu sejuk melampau itu.

Suhu di hampir 12 negeri dari Dakota hingga Ohio diramalkan mencecah tahap paling sejuk sejak beberapa generasi lalu dan mungkin memecahkan rekod sedia ada.

“Vorteks kutub paling sejuk yang pernah melanda setakat ini sedang bergerak dari selatan ke Midwest Atas sebelum bergerak ke dua pertiga bahagian timur negara.

“Suhu sejuk melampau dan mengancam nyawa bakal melanda bermula dari bahagian Midwest Atas sehingga Great Lakes dan seterusnya Lembah Ohio,” kata Perkhidmatan Cuaca Nasional.

Fenomena itu dikatakan berpunca dari pusingan udara kutub yang lazimnya hanya mengelilingi Kutub Utara.

Perkhidmatan Cuaca Nasional meramalkan suhu antara -23 hingga -40 darjah Celsius menjelang hari ini di seluruh Midwest dengan kelajuan angin menjadikan ia seolah-olah -53 Celsius. - AFP

Berita Harian X