ABUJA: Sekurang-kurangnya 41 orang terbunuh apabila sekumpulan lelaki bersenjata bertempur dengan pengawal keselamatan di Katsina utara, negeri kelahiran Presiden Muhammadu Buhari, kata jurucakap polis.
Keganasan terbaharu menjelang undian presiden itu berleluasa dan menjadi kebimbangan utama pengundi menjelang pilihan raya pada 25 Februari ini untuk memilih Ahli Parlimen baharu dan pengganti Buhari, bekas pemerintah tentera yang berkuasa lapan tahun lalu yang berjanji untuk menamatkan ketidakamanan.
Jurucakap polis negeri Katsina, Gambo Isah, berkata kumpulan bersenjata berkenaan dilaporkan menyerang sebuah perkampungan di kawasan kerajaan tempatan Bakori, Katsina, dengan melarikan lembu dan kambing biri-biri ke dalam belukar.
Katanya, pengawal keselamatan tempatan kemudian menggerakkan dan mengejar kumpulan lelaki bersenjata itu yang membawa kepada pertempuran pada Khamis lalu.
Sumber pasukan keselamatan berkata, angka kematian mencecah 50 orang dan mayat hanya ditemui semalam di dalam semak dan mereka yang cedera pula dibawa ke hospital Kankara di negeri itu.
"Operasi keselamatan bersama kini sedang giat dijalankan dengan tujuan untuk membawa pelaku ke muka pengadilan," kata Isah.
Katsina adalah salah satu negeri utara yang paling teruk, dengan diduduki kumpulan bersenjata yang menyerang dan menculik penduduk tempatan.
Penasihat khas Katsina mengenai keselamatan, Ibrahim Ahmed, berkata masyarakat tidak digalakkan untuk mengambil tindakan undang-undang sendiri kerana ia akan membawa kepada akibat yang membawa maut. - REUTERS