Isnin, 30 Januari 2023 | 3:04pm
Dua kemalangan jalan raya berasingan di Nigeria telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 20 orang. - Foto AP
Dua kemalangan jalan raya berasingan di Nigeria telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 20 orang. - Foto AP

20, termasuk 2 kanak-kanak maut dalam dua kemalangan berasingan di Nigeria

ABUJA: Seramai 20 orang termasuk dua kanak-kanak, maut akibat dua kemalangan berasingan membabitkan trak di selatan Nigeria dengan kebanyakan mangsa terbakar dan identiti mereka gagal dikenal pasti, kata pihak berkuasa, semalam.

Pegawai agensi tindak balas kecemasan negeri, Dr Olufemi Oke-Osanyintolu dalam kenyataan, berkata sebuah trak membawa kontena menghempap bas komersial di jambatan dekat Ojuelegba di hab komersial Nigeria, Lagos.

"Siasatan lanjut mendapati trak terbabit hilang kawalan dan terjatuh di tepi jambatan sebelum menghempap bas yang sedang mengambil penumpang.

"Hanya seorang wanita terselamat manakala sembilan penumpang termasuk dua kanak-kanak maut dalam nahas terbabit," katanya.

Bagaimanapun, orang ramai yang berada di lokasi kejadian, beberapa minit selepas trak menghempap bas terbabit, gagal menyelamatkan mangsa dan perlu menunggu pegawai penyelamat tiba bersama peralatan, kira-kira sejam kemudian.

Dalam kejadian berasingan, pegawai agensi keselamatan jalan raya Nigeria, Richard Adetoro, berkata 11 mangsa maut ekoran nahas membabitkan sebuah trak bertembung dengan bas di kawasan perbandaran Odigbo dekat Ondo, yang terletak berhampiran Lagos, selain mendakwa ia berpunca akibat pemanduan secara berbahaya.

"Semua mangsa terbakar dan identiti mereka gagal dikenal pasti. Orang ramai tidak dapat membantu mengeluarkan mangsa sehingga anggota bomba datang memadamkan kebakaran," katanya.

Kemalangan jalan raya sering berlaku di kebanyakan bahagian di Nigeria ekoran keadaan infrastruktur itu yang buruk dan kegagalan mematuhi peraturan lalu lintas.

Keadaan itu dikatakan lebih teruk di bandar terbesar Nigeria, Lagos ekoran trak dan kenderaan berat lain sering melalui jalan sama dengan pengguna lain.

Pihak berkuasa dikatakan gagal membendung kemalangan walaupun dasar menjadikan jalan raya lebih selamat sudah diperkenal, selain pakar berkata ia berpunca akibat kegagalan melaksanakan peraturan lalu lintas, selain keadaan infrastruktur itu yang buruk. - AP

Berita Harian X