Jumaat, 1 Julai 2022 | 2:55pm
Penunjuk perasaan membantah rampasan kuasa tentera mengibarkan bendera Sudan ketika berarak di ibu negara, Khartoum. - Foto AFP
Penunjuk perasaan membantah rampasan kuasa tentera mengibarkan bendera Sudan ketika berarak di ibu negara, Khartoum. - Foto AFP

Sekurang-kurangnya 7 penunjuk perasaan maut di Sudan

KHARTOUM: Sekurang-kurangnya tujuh penunjuk perasaan Sudan terbunuh semalam sewaktu pasukan keselamatan berusaha menyuraikan perhimpunan besar-besaran yang menuntut penamatan pemerintahan tentera.

Ia disifatkan hari paling ganas pada tahun ini dengan tindakan keras berterusan terhadap gerakan anti-rampasan kuasa dan wartawan AFP melaporkan pasukan keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan untuk menyuraikan puluhan ribu penunjuk perasaan.

Antara laungan mereka adalah 'walaupun kami mati, tentera tidak akan memerintah kami', yang menggesa pembatalan rampasan kuasa tentera pada Oktober lalu oleh ketua tentera, Abdel Fattah al-Burhan, yang mendorong negara asing mengurangkan bantuan, sekali gus memburukkan lagi krisis ekonomi yang kronik.

Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan berkata, sekurang-kurangnya lima daripada tujuh yang terbunuh ditembak termasuk dua ditembak di dada, dua di kepala, dan seorang lagi di belakang, meningkatkan jumlah kematian kepada 110 mangsa sejak protes Oktober lalu.

Orang ramai turut melaungkan 'turun kuasa pemerintahan Burhan' di kedua-dua ibu kota Khartoum dan pinggir bandarnya, termasuk bandar berkembar Omdurman, di seberang sungai Nil.

Pasukan keselamatan juga terpaksa melepaskan tembakan meriam air yang kuat ketika penunjuk perasaan membakar tayar.

Malah, pakar perubatan juga melaporkan 'beberapa percubaan untuk menyerbu hospital di Khartoum' dengan pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata ke dalam satu hospital di mana mereka yang cedera sedang dirawat.

Selain protes di Khartoum demonstrasi juga berlaku di Wad Madani di selatan, di wilayah Darfur, negeri timur Kassala dan Gedaref serta bandar Port Sudan.

Talian Internet dan telefon juga sudah terganggu sejak awal pagi semalam, langkah yang sering dikenakan pihak berkuasa Sudan untuk menghalang perhimpunan besar-besaran, namun dipulihkan menjelang petang semalam.

Meskipun keadaan darurat, keselamatan ketat di Khartoum sudah ditarik balik baru-baru ini, selepas rampasan kuasa.

Kata saksi lagi, tentera dan polis menghalang jalan menuju ke ibu pejabat tentera dan istana presiden manakala kedai-kedai di sekitar ibu kota sebahagian besarnya ditutup.

Sudan sering kali digemparkan dengan protes secara mingguan akibat masalah ekonomi negara itu yang semakin meruncing sejak Burhan merampas kuasa tahun lalu.

Di samping Kesatuan Afrika dan blok serantau IGAD serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) cuba untuk memudahkan perbincangan antara jeneral dan orang awam, tiada perkembangan ketara dicapai.

PBB memberi amaran bahawa krisis ekonomi dan politik semakin meruncing dan ia mendorong satu pertiga daripada lebih 40 juta penduduk negara itu ke arah kekurangan makanan yang mengancam nyawa. - AFP

Berita Harian X