Sabtu, 30 April 2022 | 7:21am
 Foto AFP (hiasan)
Foto AFP (hiasan)

Afrika Selatan jangka gelombang kelima COVID-19 lebih awal

JOHANNESBURG: Afrika Selatan berkemungkinan memasuki gelombang kelima COVID-19 lebih awal daripada jangkaan selepas peningkatan berterusan dalam jangkitan sepanjang 14 hari lalu yang didorong subvarian BA.4 dan BA.5 Omicron, menurut pegawai kesihatan dan saintis.

Negara yang mencatatkan kes dan kematian akibat COVID-19 paling tinggi di benua Afrika hanya keluar daripada gelombang keempat sekitar Januari dan meramalkan gelombang kelima bermula pada Mei atau Jun, awal musim sejuk hemisfera selatan.

Menteri Kesihatan, Joe Phaahla, dalam taklimat berkata walaupun jumlah kemasukan ke hospital semakin meningkat, setakat ini tiada perubahan dramatik dalam kemasukan ke unit rawatan rapi atau kematian.

Beliau berkata pada peringkat ini pihak berkuasa kesihatan belum dimaklumkan mengenai sebarang varian baharu, selain perubahan kepada varian dominan, Omicron.

Pakar penyakit berjangkit, Richard Lessells, berkata imuniti yang berkurangan daripada gelombang sebelumnya boleh menyumbang kepada kemunculan semula kes lebih awal daripada dijangkakan.

Beliau berkata peningkatan jangkitan yang dikaitkan dengan sub-keturunan BA.4 dan BA.5 Omicron mencadangkan mereka mempunyai kelebihan pertumbuhan berbanding sub-varian Omicron lain seperti BA.2.

Tetapi setakat ini tiada tanda BA.4 dan BA.5 menyebabkan penyakit jauh lebih teruk, kata Waasila Jassat dari Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan.

Afrika Selatan melaporkan lebih 3.7 juta kes COVID dan lebih 100,000 kematian akibat wabak itu.

Pegawai kanan kesihatan, Nicholas Crisp, berkata negara itu mempunyai dos vaksin yang mencukupi dan tidak merancang untuk mendapatkan lebih banyak.

Beliau berkata kerajaan juga tidak bercadang untuk membeli pil rawatan COVID Pfizer Paxlovid untuk pesakit sektor awam, sebahagiannya kerana ia sangat mahal. - REUTERS

Berita Harian X