Ahad, 24 April 2022 | 8:16am
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Lebih 100 maut letupan kilang penapis minyak haram di Nigeria

PORT HARCOURT (NIGERIA): Lebih 100 dikhuatiri terbunuh dalam letupan yang berlaku di kilang penapisan minyak haram di selatan Nigeria.

Angka kematian itu dilaporkan media tempatan susulan letupan pada lewat Jumaat lalu, satu lagi insiden terbaru di Nigeria selaku negara pengeluar minyak mentah terbesar di Afrika.

Pihak polis mengesahkan letupan itu berlaku pada lewat Jumaat, namun tidak memberikan butiran penuh mengenai mangsa.

Jurucakap polis Rivers, Grace Iringe-Koko memaklumkan, letupan berlaku di tapak penapisan haram itu ketika mana operator dan pelanggan mereka berkumpul bagi urusan perniagaan.

"Insiden itu berlaku di sempadan antara Rivers dan Imo," katanya tanpa memberi perincian mengenainya.

Sementara itu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pusat Belia dan Advokasi Alam Sekitar (YEAC) mendakwa ramai mangsa dikhuatiri maut akibat terbakar dalam letupan terbabit.

Pengarah Eksekutif YEAC, Fyneface Dumnamene berkata, beberapa mayat yang terbakar dan tidak dapat dikenal pasti terbaring di atas tanah, manakala mangsa lain yang mungkin cuba lari menyelamatkan diri dilihat tergantung di beberapa dahan pokok.

Penapisan minyak mentah haram bukan perkara asing di wilayah minyak selatan, di mana pencuri merosakkan saluran paip untuk mencuri minyak mentah yang kemudian ditapis untuk dijual di pasaran gelap.

Kebanyakan yang tinggal di Niger Delta, wilayah yang menghasilkan minyak, hidup dalam kemiskinan walaupun negara itu adalah pengeluar minyak terbesar di benua itu, dengan anggaran pengeluaran dua juta tong sehari.

Kebakaran saluran paip sering berlaku di Nigeria, sebahagiannya disebabkan penyelenggaraan saluran paip yang lemah dan kegiatan pencuri yang merosakkannya bagi menyedut petrol untuk dijual di pasaran gelap.

Ratusan terbunuh akibat kegiatan mencuri dan penapisan haram produk petroleum yang dikenali sebagai 'bunkering' dalam kalangan penduduk tempatan.

Kerajaan sebelum ini mengerahkan tentera untuk menyerbu dan memusnahkan kilang penapisan haram di Niger Delta, sebagai sebahagian langkah menghentikan pencurian sumber minyak negara itu. - AFP

Berita Harian X